Penceramah tanpa tauliah dan penganjur boleh dikenakan tindakan di Perlis - Utusan Malaysia

Penceramah tanpa tauliah dan penganjur boleh dikenakan tindakan di Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pihak berkuasa agama perlu memantau dan memastikan agar setiap penceramah di negeri ini mendapatkan tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang ditetapkan berhubung perkara itu, siasatan dan tindakan perlu diambil terhadap penganjur serta penceramah terlibat bagi menggelakkan kesalahan itu berulang.

Titah baginda, ketetapan itu perlu dilaksanakan oleh semua pihak tidak kira agensi kerajaan negeri atau Persekutuan, badan swasta dan orang perseorangan.

“Besarlah harapan beta agar segala yang dizahirkan dalam titah ini dapat diberikan perhatian dan ditaati oleh seluruh rakyat yang dikasihi,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, kewajipan penceramah agama Islam untuk mendapatkan tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam adalah selaras dengan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis (EPAI) 2006.

Titahnya, kegagalan mematuhi perkara itu adalah tertakluk kepada Seksyen 110 EPAI berkaitan kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah dan Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

“Justeru, beta ingin mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi dengan taat dan ikhlas segala dasar yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta agensi-agensi seperti JMNPs, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs),” titahnya.

Di samping itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 turut memperuntukkan mengenai agama negeri Perlis adalah Islam Ahli Sunnah Waljama’ah seperti yang telah diamalkan dalam negeri ini.

Titah baginda, selain itu, Perkara 6 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 juga telah memberi kuasa bagi penubuhan MAIPs di negeri ini.

“MAIPs diamanahkan untuk membantu dan menasihati raja pemerintah dalam memberikan timbang tiliknya terhadap perkara-perkara berkaitan agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang mesti dihormati dan dipertahankan sewajarnya,” titahnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya