Pemilik syarikat didenda RM25,000 palsu dokumen Penjana Kerjaya - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat didenda RM25,000 palsu dokumen Penjana Kerjaya

EZZA Suria Muda (kiri) yang mengaku bersalah memalsuan dokumen Penjana Kerjaya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua kesalahan pemalsuan dokumen pendaftaran Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya), tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ezza Suria Muda, 38, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memalsukan borang pendaftaran Penjana Kerjaya itu pada 3 dan 23 November 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara dua dan tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan selain mengarahkan wang RM309,000 di dalam akaun syarikat tertuduh dilucut hak.

Mohd. Azhar dalam penghakimannya menolak hujahan peguam tertuduh yang berhujah kerajaan tidak mengalami kerugian sedangkan siasatan mendapati sebahagian perbelanjaan telah diperuntukkan.

Katanya, kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan akan berleluasa jika tidak dibendung selain berharap hukuman dijatuhkan itu dijadikan pengajaran oleh masyarakat.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Syed Azimal Amir dan Ahmad Fauzi Mohamed. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya