KUALA LUMPUR: Keputusan terhadap sebarang bantahan akan diputuskan selewat-lewatnya pada Khamis ini.
Memaklumkan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad berkata, pihaknya akan bermesyuarat dan meneliti setiap jenis bantahan yang dikemukakan, sekali gus keputusan akan dibuat selepas daripada itu.
“Kita akan melihat kepada jenis bantahan. Kalau bantahan itu terhadap tata etika individu, tindakan dibuat terhadap individu. Kalau bantahan terhadap proses, itu akan diambil tindakan terhadap bantahan tepat.
“Jadi semuanya kena bermesyuarat susulan bantahan yang diterima. Tempoh bantahan masih terbuka, Rabu, Khamis kita dah kena buat keputusan,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud pelanggaran etika ketika proses pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Bagan Datuk baru-baru ini.
Tambahnya, beliau turut memaklumkan pihaknya menerima beberapa bantahan daripada bahagian berkaitan pemilihan UMNO bagi peringkat sayap yang berlangsung sejak Sabtu lalu.
Bagi peringkat Wanita, pihaknya menerima bantahan di Bahagian Kuala Kedah, Kulim Bandar Baharu Pekan, Pasir Salak, Sungai Besar dan Rompin.
Malah, Shahrir turut tidak menolak kemungkinan ada lagi bantahan di bahagian lain kerana mereka mempunyai masa kira-kira tiga hari untuk membuat bantahan tersebut.
“Esok adalah hari terakhir kita menerima bantahan tersebut. Di peringkat Pemuda kita terima bantahan dari Bahagian Sekijang, Langkawi, Kuala Krau dan Temerloh.
“Kebanyakan ini (bantahan) melibatkan peringkat bahagian masing-masing dan bukannya melibatkan Pusat kecuali Kuala Kedah, Semporna dan Batu Kawan yang tidak terlibat pada pemilihan kali ini,” katanya lagi.
Terdahulu beliau memaklumkan, proses perjumlahan undi ketiga-kita sayap UMNO iaitu Wanita, Puteri dan Pemuda selesai kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Bagaimanapun katanya, dua bahagian iaitu Tanah Merah dan Kota Belud tidak menjalankan pemilihan dan mesyuarat tersebut menyebabkan proses pemilihan kali ini hanya melibatkan 189 Bahagian daripada keseluruhannya 191 Bahagian.
“Jumlah yang terlibat dalam proses pemilihan kali ini pula adalah kira-kira 164,000 perwakilan. Keputusan lambat diperolehi kerana ada bahagian yang lambat menghantarnya ke bilik gerakan kita (UMNO).
“Di peringkat Puteri ada tiga bahagian tidak terlibat pemilihan iaitu Tanah Merah, Kota Belud dan Batu Kawan.
“Bagi Pemuda ada empat bahagian iaitu Tanah Merah, Kota Belud, Semporna dan Titiwangsa.
“Di peringkat Wanita pula ada tiga bahagian tidak terlibat iaitu Tanah Merah, Kota Belud dan Kuala Kedah,” ujarnya.
Shahril dalam masa yang sama turut berharap agar keputusan pada 18 Mac ini akan dapat disegerakan bagi Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT). – UTUSAN










