Pelaburan 1MDB hanya ilusi

Pelaburan 1MDB hanya ilusi

Datuk Seri Najib Razak pada Sambungan Kes 1MDB Bekas Perdana Menteri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai bank di Singapura memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, segala transaksi yang diuruskan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho membabitkan 1Malaysia Deve­lopment Berhad (1MDB) dan beberapa syarikat berkaitan de­ngan syarikat pelaburan strategik negara hanyalah satu ilusi optik bahawa dana tersebut dilaburkan dalam pelaburan yang sah.

Saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai yang merupakan bekas Ketua Perkhid­matan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Singapura turut mengandaikan bahawa segala transaksi itu diketuai oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagaimana yang se­ring diuar-uarkan oleh Jho Low pada ketika itu.

Saksi itu juga menyatakan, berdasarkan struktur, lapisan transaksi membabitkan dana fidusiari dan penjelasan mengenai destinasi akhir dana tersebut disalurkan, dia mengesyaki kesahihan transaksi-transaksi tersebut walaupun dimaklumkan bahawa ia membabitkan urusan pelaburan di antara kerajaan dengan kerajaan.

“Tiada alasan atau penjelasan yang kredibel diberikan oleh pelanggan yang terlibat dalam transaksi tersebut. Selepas apa yang berlaku, boleh saya katakan bahawa tiada sebarang asas ekonomi mengenai transaksi-transaksi tersebut yang mana ia bukanlah satu pelaburan yang sah sebagaimana yang cuba ditonjolkan oleh pelanggan.

“Berdasarkan apa yang telah berlaku dan maklumat yang mula bertebaran di domain awan sejak 2015, adalah jelas bagi saya bahawa Jho Low memilih menggunakan perkhidmatan dana fidusiari kerana ia mampu memberikan ilusi optik kepada pelbagai pemegang taruh (stakeholder) di Malaysia dan lain-lain negara bahawa dana yang dimiliki SRC International, 1MDB, Aabar BVI di­laburkan dalam pelaburan yang sah,” katanya.

Terdahulu, Kevin ketika membaca penyataan saksinya menyatakan, dia mengandaikan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengetahui mengenai transaksi-transaksi yang berlaku kerana ia membabitkan jumlah besar yang pasti akan memerlukan kelulusan daripada pihak atasan.

“Saya membuat andaian sebegitu atas alasan antaranya Najib merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mana 1MDB dimiliki sepenuh­nya oleh Kementerian Kewangan. Jho Low juga sering memberi petunjuk bahawa dia merupakan penasihat kepada Najib sebagaimana yang diberitahu oleh ketua dan Pengurus Perhubungan, Yak Yew Chee kepada saya.

“Selain itu, sebarang persoalan oleh Bank BSI mengenai destinasi terakhir dan kegunaan dana fidusiari (1MDB dan syarikat berkaitan dengannya), Jho Low akan sentiasa menjawab transaksi tersebut adalah sangat sulit kerana membabitkan pelaburan di antara kerajaan dan tiada maklumat boleh dikongsikan.

“Jumlah terlibat juga sangat besar dan kerap menunjukkan transaksi sedemikian mesti mempunyai kelulusan daripada peringkat tertinggi dalam kerajaan seperti Perdana Menteri,” katanya.
Bank BSI adalah anak syarikat milik penuh BSI SA, sebuah bank yang diasaskan pada 1873 dan beribu pejabat di Switzerland dan menawarkan pelbagai perkhidmatan perbankan swasta termasuk kemudahan dana fidusiari.

Bank tersebut mula disebut dalam perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd. membabitkan Najib ekoran ‘tugasnya’ memindahkan dana syarikat-syarikat terbabit dalam jumlah yang besar ke luar negara.

Selain 1MDB dan SRC International, turut menjadi pelanggan bank berkenaan ialah anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Glo­bal Investment Ltd (1MDB GIL) serta Brazen Sky Ltd dan Aabar BVI yang dikatakan dimiliki dan dikawal oleh Jho Low.

Selain itu, berkaitan akaun 1MDB GIL, Kevin menyatakan terdapat kekerapan transaksi yang tinggi membabitkan dana fidusiari syarikat berkaitan sehingga ada yang mencecah AS$2.721 bilion sehari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN