KUCHING: Usaha Kementerian Pendidikan bagi menukar bahan sistem pendidikan buku teks fizikal kepada digital memerlukan lebih kerja di lapangan terutama di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang menyambut baik usaha yang tepat diambil oleh Kementerian Pendidikan dalam memacu pendigitalan pendidikan di negara ini.
“Namun, beberapa perkara perlu diberi pertimbangan khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri Sabah dan Sarawak jika ingin menukar buku teks fizikal kepada buku teks digital. Bagi kawasan bandar ia mungkin tidak berdepan banyak masalah.
“Antaranya ialah capaian dan bandwidth internet haruslah cukup baik untuk semua murid dan guru menjalankan aktiviti Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), kerana kadang kalanya ada maklumat yang perlu diperolehi daripada sumber internet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying di Dewan Rakyat semalam berhubung usaha yang giat dilakukan Kementerian Pendidikan dalam menukar buku teks fizikal kepada digital.
Tambahnya lagi, kemudahan peranti atau gadjet hendaklah disediakan mencukupi serta berkualiti kepada semua murid.
Di samping itu skrin dan LCD di setiap kelas juga perlu bagi melancarkan proses pembelajaran berlangsung.
“KPM juga harus meletakkan garis panduan yang jelas, sistematik serta terkawal bagi mengelak penyalahgunaan gajet dalam kalangan murid serta memudahkan pihak sekolah menguruskan tatacara penggunaan gajet di sekolah.
“Sejujurnya kita amat berharap perkara ini dapat dilaksanakan segera kerana isu beg sekolah yang berat adalah isu lama yang sering berbangkit dan juga menyahut cabaran transformasi pendidikan negara,” ujar beliau.
Malah, usaha memberi kemudahan buku teks digital juga sedikit sebanyak akan meringankan tugas guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan belum dapat menentukan jangka masa bagi melaksanakan sistem pendidikan digital secara menyeluruh dalam menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, ini kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk kekangan kewangan dan ketersediaan capaian internet.-utusan










