SHAH ALAM: Kajang mempunyai jumlah penduduk paling tinggi di negeri ini dengan jumlah populasi dalam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebanyak 1.047 juta diikuti Subang Jaya di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) seramai 902,086 orang.
Sementara di Klang pula, populasi penduduk di bawah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hampir menyamai Subang Jaya dengan jumlah seramai 902,025 orang.
Menduduki tangga keempat adalah Shah Alam apabila pihak berkuasa tempatannya (PBT), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memegang populasi penduduk seramai 812,327 orang dan kelima, Selayang di bawah Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memiliki 764,327 penduduk.
Angka-angka tersebut adalah berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan (DOSM) yang dikeluarkan semalam mengikut mengikut kawasan-kawasan PBT meliputi dewan dan majlis bandaraya, perbandaran dan daerah diperolehi menerusi Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.
Dalam pada itu, laporan tersebut turut menerbitkan data populasi berdasarkan kawasan PBT mengikut peringkat umur yang dikategorikan seperti usia muda iaitu 0 hingga 14 tahun, usia bekerja (15 – 65 tahun) dan warga emas (65 tahun ke atas).
Usia bekerja
Di Selangor, usia bekerja adalah kumpulan paling ramai yang menduduki lima bandar PBT teratas iaitu Kajang seramai 742,813 orang diikuti Klang seramai 646,484 orang dan ketiga Subang Jaya seramai 643,038 orang.
Tempat keempat dan kelima pula dimiliki PBT Shah Alam dan Selayang apabila masing-masing mempunyai populasi penduduk seramai 579,782 dan 539,165 orang.
Usia muda
Kategori usia kedua teramai adalah usia muda meliputi kanak-kanak baru lahir hingga sekolah menengah tingkatan 3 dan Kajang masih menduduki tangga teratas iaitu 229,759 orang diikuti Subang Jaya iaitu seramai 194,313 orang.
Kedudukan tersebut diikuti Klang (191,529 orang), Selayang (175,569 orang) dan Shah Alam (174,402 orang).
Warga emas
Kumpulan paling sedikit adalah warga emas, namun Kajang kekal di tangga teratas dengan populasi penduduk usia berkenaan seramai 741784 orang diikuti Subang Jaya (64,735 orang),Klang (64,012 orang), Shah Alam, (58,143 orang) dan Selayang (49,593).
Malah berdasarkan perbandingan PBT di seluruh negara, hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memiliki penduduk warga emas melebihi 100,000 iaitu 130,387 orang, namun komposisinya adalah rendah iaitu 6.6 peratus berbanding keseluruhan penduduk.
Sementara komposisi warga emas tertinggi di negara ini adalah di Majlis Daerah Lenggong, Perak iaitu 13.5 peratus yang berkongsi peratusan sama dengan Majlis Daerah Lubok Antu, Sarawak.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penerbitan ini membentangkan statistik PBT yang terdiri daripada penduduk, tempat kediaman, jantina, umur, etnik, isi rumah, purata saiz isi rumah persendirian dan penduduk mengikut strata.
“PBT terdiri daripada dewan bandaraya atau majlis bandaraya, majlis perbandaran, majlis daerah dan modified PBT yang ditentukan oleh saiz penduduk dan perolehan pendapatan.
“Bilangan PBT meningkat kepada 155 pada tahun 2020 daripada 148 pada tahun 2010 berikutan pertambahan semula jadi penduduk, penaiktarafan PBT, perwujudan PBT baharu dan perubahan atau pecah sempadan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. – UTUSAN










