Parlimen: Lebih 3,000 kes seksual kanak-kanak didakwa di mahkamah  - Utusan Malaysia

Parlimen: Lebih 3,000 kes seksual kanak-kanak didakwa di mahkamah 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,060 kes mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dihadapkan ke mahkamah sejak 2018 hingga Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 5,519 kes dilaporkan dan 4,713 daripadanya berjaya diselesaikan dalam tempoh itu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, yang antaranya membuat beberapa pindaan kepada Akta 792 dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

“Pindaan ini memperuntukkan pendengaran khas yang mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya tidak perlu menghadiri perbicaraan.

“Selain itu, ia juga memberi kuasa kepada mahkamah untuk melarang soalan tidak wajar diaju bagi memastikan seseorang saksi kanak-kanak dapat memberi keterangan dengan lebih tenang, lancar dan selesa,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dikuat kuasa.

Dalam pada itu, kata Azalina, kaedah perundangan saja tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan semua langkah diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu mesra kanak-kanak.

“Ini termasuk pada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan hingga ke prosiding di mahkamah. Perkara ini mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik daripada saksi kanak-kanak dan meminimumkan trauma serta stigma yang bakal dihadapi kanak-kanak terbabit,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN