KUALA LUMPUR: Sebanyak 9,938 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir Jabatan Imigresen Sabah daripada empat depot tahanan di negeri itu sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, rekod itu dicatatkan sejak 2021 hingga 27 Mac lalu, membabitkan 2,497 PATI pada 2021; 5,450 PATI (2022) dan 1,991 PATI bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Mac tahun ini.
“KDN mempergiat usaha pengusiran tahanan ke negara asal dengan mengadakan rundingan berkala dengan pihak Kedutaan Filipina dan Indonesia bagi mempercepat proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta kementerian menjelaskan tindakan yang diambil terhadap pendatang tanpa izin di Sabah khususnya di Tawau yang banyak menimbulkan gejala sosial dan keselamatan sehingga meresahkan penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Shamsul Anuar turut berkata, sebanyak 1,076 operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan tangkapan 1,881 PATI dan 45 majikan pada sepanjang 2021 bagi aktiviti penguatkuasaan membabitkan premis perniagaan dan perusahaan.
Pada 2022, katanya, Jabatan Imigresen Sabah melaksanakan 700 operasi penguatkuasaan membabitkan 1,437 tangkapan PATI dan 14 majikan atas pelbagai kesalahan imigresen, katanya.
“Sehingga 2023, sebanyak 265 operasi, 487 ditangkap, dua majikan dan 6,405 pemeriksaan dibuat pada tahun ini,” katanya.
Dalam hal ini, beliau turut menjelaskan yang pihaknya memandang serius mengenai perkara itu, sekali gus memerlukan strategi pembanterasan secara berterusan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.- UTUSAN