PETALING JAYA: Pameran Kerjaya Talentbank selama dua hari bermula 4 Mac ini kini kembali memberi peluang kepada graduan dan pencari kerja untuk berhubung bersama lebih 100 syarikat terkemuka di Malaysia.
Pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid menampilkan penyertaan syarikat terkemuka seperti Nestle, Maxis, Huawei, CIMB, Blacksire dan Shell.
Terdapat lebih 10,000 peluang pekerjaan tersedia dalam pelbagai industri termasuk perakaunan, audit, percukaian, perbankan, teknologi dan pengkomputeran, perkhidmatan pelanggan, kejuruteraan, sumber manusia dan pemasaran.
Pameran kerjaya paling komprehensif di Malaysia itu kembali tepat pada masanya untuk memberi impak yang besar kepada pekerja mahir dan penganggur.
Usaha itu dilakukan ketika Malaysia dan syarikat terkemuka berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir dan graduan muda Malaysia yang menghadapi pasaran pekerjaan yang sukar dengan kadar pengangguran untuk belia mencecah pada 11.8 peratus.
Untuk maklumat lanjut mengenai pameran kerjaya ini, layari laman web www.joincareerfair.com. – UTUSAN