Ops Tiris; Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas - Utusan Malaysia

Ops Tiris; Lebih 50,000 liter diesel seleweng dirampas

S. JEGAN (kanan) melihat sebuah tangki tambahan yang dipasang pada sebuah lori untuk digunakan dalam kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi dalam sidang akhbar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak lapan kes rampasan diesel berjumlah 50,340 liter dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan berjumlah RM369,231 direkodkan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sepanjang pelaksanaan Ops Tiris bulan ini sehingga semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, jumlah itu termasuk dua kes rampasan diesel bersubsidi di Bandar Perda di sini, kelmarin dan Sungai Bakap, Nibong Tebal, semalam.

Jegan berkata, dalam kes pertama, pihaknya mengesan sebuah lori seberat tujuh tan yang mencurigakan hasil pemantauan di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 3 petang.

Katanya, sepasukan anggota penguat kuasa kemudian bertindak mengekori lori tersebut yang membuat pembelian berulang dari sebuah stesen minyak ke sebuah stesen minyak lain.

“Bagaimanapun, apabila menyedari diekori, pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya di kawasan bangunan lama sebuah pusat beli-belah di Bandar Perda sebelum melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Jegan, hasil pemeriksaan terhadap lori terbabit kemudian mendapati terdapat satu unit tangki besi tambahan berukuran 20x7x3 yang disyaki mengandungi diesel selain dua unit pam motor dan hos di bahagian lantai lori berkenaan yang digunakan untuk menyedut minyak diesel dari tangki asal.

“Modus operandi bagi kes ini ialah dengan membeli bahan api itu di beberapa tempat berasingan sebelum dikumpul di satu tempat untuk dijual kepada pihak ketiga.

“Kita turut mengesyaki sindiket tersebut menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi aktiviti mereka selain memantau pergerakan pihak berkuasa,” katanya yang memberitahu, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk kira-kira 6,000 liter diesel itu, sebuah lori dan beberapa peralatan berkaitan berjumlah RM73,500.

Sementara itu katanya, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan bersama 4,600 liter diesel susulan pemeriksaan terhadap tiga buah lori dalam kes kedua di Sungai Bakap kira-kira pukul 10.30 malam, semalam.

“Dalam kes itu pula, nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan adalah sebanyak RM60,390,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap orang awam terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa bagi memastikan segala aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi itu dapat dibanteras hingga ke akar umbi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya