PETALING JAYA: Datuk Norliza Abdul Rahim mendahului pertandingan kerusi Naib Ketua Wanita dalam Pemilihan UMNO 2023 berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat ini.
Penyandang Naib Ketua Wanita itu yang berdepan Ketua Penerangan Wanita, Datuk Rosni Zahari setakat ini memperoleh tujuh undi melibatkan bahagian Bayan Baru, Tampin, Selayang, Ketereh, Kuantan, Sik dan Simpang Renggam
Berdasarkan perkongsian di Facebook UMNO Online, Norliza menyapu bersih 133 undi di Bahagian Bayan Baru; 206 undi di Tampin, berbanding sembilan undi kepada Rosni dan 240 undi di Sik, berbanding tiga kepada Rosni.
Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat bagi sesi 2023-2026, berlangsung hari ini, serentak dengan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian di seluruh negara.
Persoalan siapa yang bakal mengemudi sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan terjawab pada hari ini apabila Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 membuka tirai hari ini dengan proses pengundian para perwakilan di seluruh negara.
Bagi Wanita UMNO Malaysia, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan Exco.
Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh orang calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan Exco.
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon telah menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco. – UTUSAN