Negara berdepan lambakan sampah

Negara berdepan lambakan sampah

PARA sukarelawan NGO Pahlawan Sampah atau Trash Hero Perlis memastikan plastik-plastik sampah diikat dengan kemas supaya tidak bercampur dengan sisa-sisa selepas mengutip sampah di pesisir Pantai Kuala Sungai Baru, Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.

Jumlah tersebut diperoleh dengan mengambil kira anggaran sampah yang dijana daripada domestik iaitu sekitar 1.2 hingga 1.3 kilogram (kg) bagi setiap individu dan anggaran keseluruhan sehari itu juga dikatakan komposisi paling besar untuk diurus bagi sesebuah negara.

Ini menimbulkan kebimbangan kebolehupayan negara mengurus jumlah sebesar itu apabila Utusan Malaysia dimaklumkan ada 83 pusat pelupusan sampah terbuka yang kebanyakannya sudah ditutup. Malah hampir keseluruhan 163 pusat pelupusan sampah yang masih beroperasi juga sudah mencapai tahap kapasiti harian.

Turut dikhuatiri keadaan tersebut membawa kepada kewujudan tapak pelupusan sampah haram sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat susulan tindakan melanggar Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) oleh segelintir pihak.

Pengarah Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Fadhil Md. Din berkata, kebiasaannya kawasan pelupusan sampah mempunyai jangka hayat sekitar 20 hingga 25 tahun.

Menurutnya, ada juga kawasan yang hanya mempunyai jangka hayat sekitar 15 tahun dan kemudian tidak mampu lagi menampung lambakan sisa domestik terutama sampah pukal dan sisa organik

“Untuk mengatasi masalah ini terdapat beberapa kaedah yang boleh dipraktikkan terutama konsep pengurangan sampah di punca dengan mempelbagaikan kitar atau guna semula sumber ini.

“Bagaimanapun, infra dan sistem seperti fasiliti pusat pemulihan atau Material Recovery Facility (MRF) iaitu kaedah paling mesra alam menelan kos operasinya yang sangat tinggi sehingga membataskan penggunaan.

“Namun, Malaysia mempunyai kerangka Kitaran Ekonomi (Circular Economy) yang boleh memanfaatkan pengurusan sisa kepada sumber baharu seperti tenaga, perkomposan dan penghasilan sumber baru,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pada 2022, dianggarkan 39,936 tan sampah dihasilkan di Malaysia dan dikatakan 95 peratus daripada sisa pepejal yang dikutip dilupuskan dalam tapak pelupusan sampah manakala lima peratus sampah pula dihantar ke loji rawatan thermal berskala kecil di beberapa negeri.

Dengan jumlah sampah yang dihasilkan meningkat setiap tahun selaras dengan kepesatan pembangunan dan pertambahan populasi, dalam jangka panjang sudah pasti tapak pelupusan sampah sedia ada tidak dapat menampung jumlah tersebut.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, kebanyakan tapak pelupusan sampah seperti di Pekan Nanas, Pontian, Jemaluang dan Mersing yang sudah menjangkau lebih 25 tahun dijangka mampu bertahan untuk dua ke tiga tahun ekoran hampir mencapai kapasiti maksimum.

Sehubungan itu jelasnya, bagi membolehkan Malaysia diiktiraf sebagai negara maju, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian mendalam seperti pengurusan sampah lestari iaitu termasuk pelupusan sampah dan mempertingkatkan kesedaran dalam masyarakat.

Katanya, tanpa kaedah atau teknologi pengurusan sisa pepejal lain, keperluan terhadap pembinaan tapak pelupusan sisa pepejal akan terus meningkat dengan peningkatan jumlah kutipan sampah di seluruh Malaysia. Skala kapasiti teknologi pelupusan sampah adalah jauh lebih kecil dibandingkan dengan jumlah kutipan sampah seharian di negara ini.

“Sebenarnya, melalui kitar semula, masyarakat bukan sahaja boleh mengurangkan penghasilan sisa pepejal, malah menjana pendapatan sampingan, namun ia ‘seolah-olah’ dipandang sepi oleh masyarakat.

“Pada 2021, kadar kitar semula merekodkan hanya 31.52 peratus manakala pada tahun 2022 masih gagal mencecah 40 peratus, sedangkan kebanyakan negara maju mencatatkan sekurang-kurangnya 60 peratus,” katanya.

Menurut Dr. Haliza, terdapat juga pelbagai jenis sistem dan teknologi boleh diguna pakai negara dalam pengurusan sisa pepejal seperti plasma pirolisis, tapak sisa lengai dan teknologi sisa ke tenaga (WTE).

“Pilihan terakhir adalah beralih kepada membina insinerator berskala besar, pada masa kini terdapat insinerator berskala kecil. Sedia ada, terdapat tujuh pusat pembakaran mini di Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Labuan.

“Pusat pembakaran mini ini mempunyai kapasiti pengurusan sisa pepejal sebanyak 3-10 tan/hari/unit. Di Pulau Labuan juga terdapat sebuah pusat pembakaran yang menggunakan kaedah ‘Thermal Oxidation’. Pusat pembakaran ini mampu mengendalikan 40 tan sisa pepejal sehari,” jelasnya.

Diakui pembinaan pusat pembakaran berskala besar mampu mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal di Malaysia, namun, Dr. Haliza menjelaskan terdapat juga beberapa impak negatif hasil penggunaan insinerator berskala besar itu menjadikan ia jalan terakhir perlu diambil kerana mencemarkan alam.

Tambahnya, Malaysia perlu menjadikan Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan sebagai ‘mentor’ dalam pengurusan sampah serta proses kitar semula kerana negara matahari terbit itu merupakan antara yang terbaik di dalam dunia.

“Masyarakat Jepun mempunyai sikap kebertanggungjawaban yang tinggi dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka tidak membuang sampah merata-merata demi menjaga persekitaran dan proses kitar semula sangat penting di sana kerana melalui kaedah ini mereka dapat mengurangkan penghasilan sampah.

“Strategi dan insentif UAE untuk dasar tanpa kertas Dubai pula berjaya mengubah perkhidmatan dan operasi menjadi 100 peratus digital dan mengurangkan penggunaan kertas dengan lebih daripada satu bilion lembar setiap tahun di sektor kerajaan. Projek ini menjimatkan 130,000 pokok dan 40 jam setiap orang setahun yang dibelanjakan untuk melaksanakan transaksi kertas, setara 900 juta dirham (RM1.01 bilion).

“Korea Selatan juga mempunyai kadar kitar semula yang cemerlang sebanyak disebabkan oleh sistem pengurusan sisa yang sangat maju. Sebelum kitar semula, sampah disusun mengikut kategori sisa yang berkaitan seperti tapak pelupusan sampah, organik, bahan daur ulang, dan bahan buangan yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, pengurusan tidak cekap pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan pusat menyebabkan hampir 150 pusat pelupusan sampah menuju kepada ‘titik noktahnya’ apabila mencapai had kapasiti.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Damien Thanam Divean berkata, Malaysia tidak akan dapat bertahan sekiranya kekal dengan cara lama terutama apabila negara mencatat kira-kira 14 juta tan sampah setahun dan dikatakan ia semakin meningkat.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak berkuasa perlu berhenti ‘memanjakan’ rakyat dengan kaedah pengurusan sampah domestik yang tradisional sehingga sikap kitar semula diambil sambil lewa.

Tindakan dan jalan kerja drastik perlu diambil, sampah-sarap domestik mesti dikuatkuasakan untuk diasingkan diruang masak terlebih dahulu sebelum diletakan diluar rumah menerusi tong-tong sampah di sediakan untuk setiap jenis sampah seperti plastik, besi, kain, kertas (kitar semula) serta sampah organik yang akan busuk seperti sisa daging mahupun sayur-sayuran.

“Undang-undang diperingkat PBT, negeri dan pusat mesti dipinda dahulu untuk memaksa pengguna beradaptasi dengan amalan ini secepat mungkin seperti penggunaan sarung muka yang dilaksanakan ketika pandemik dahulu,” katanya.

Pada 5 Ogos 2022, akhbar ini melaporkan, sikap jelik sebahagian besar rakyat Malaysia yang suka membuang sampah merata-rata akhirnya meletakkan nama negara ini di tempat ke-130 Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI).

Malah, sekiranya dilihat perbandingan daripada keseluruhan 180 negara yang dinilai, Malaysia dengan kutipan 130 mata sahaja, menduduki tangga ke-50 sebagai paling kotor di dunia dan ketinggalan dalam kalangan negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei serta Thailand.

Damien menegaskan bahawa keadaan ini berpunca daripada kegagalan kerajaan dalam mendidik dan membawa perubahan drastic dengan cara pengurusan baharu iaitu penguatkuasaan yang tegas.

“Malaysia ialah negara yang unik dengan budaya tersendiri terutama dalam pengurusan dapur. Lebih-lebih lagi budaya ini tidak banyak berbeza sejak berdekad-dekad lamanya

“Kerajaan Malaysia seharusnya memaksa rakyat menukar cara hidup dan pengurusan sampah domestik dengan perundangan baru. Jika ini tidak dilakukan, tidak ada apa pun yang akan bertukar,” katanya.

Mengulas mengenai sistem insinerator iaitu kaedah yang diuar-uarkan sesuai dalam pengurusan pelupusan sampah, Pegawai Penyelidik Kanan Sahabat Alam Sekitar (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mageswari Sangaralingam menafikan ia kerana teknologi itu membawa keburukan pada alam sekitar, awam serta hidupan lain.

Jelasnya, sebarang penunuan akan melepaskan gas dan menjana abu, sehubungan itu tidak ada paras selamat untuk bahan kimia atau gas toksiknya yang terlepas dari insinerator, paras rendah yang dikatakan penggalak teknologi tersebut juga tidak bermaksud selamat untuk manusia.

“Walaupun dikatakan teknologi terbaik akan digunakan tetapi ini tidak menjamin bahawa pelepasan berbahaya tidak dilepaskan. Pelepasan gas toksik dari insinerator akan menjejaskan kesihatan terutamanya kepada kanak-kanak, wanita dan yang uzur.

“Melalui pendedahan biasa, toksin dari pelepasan insinerator diserap oleh tubuh melalui proses yang dikenali sebagai pengumpulan bio (bioaccumulation). Abu yang dihasilkan dari insinerator juga berbahaya dan perlu dilupus di tapak pelupusan dan diuruskan dengan baik,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat langkah lebih sesuai untuk negara bergerak ke arah ‘sifar sisa’ berbanding menggunakan proses penunuan sisa yang tidak memenuhi syarat kitar semula seperti mengurangkan penjanaan sisa, penggunaan berhemah dan sisa organik harus dikompos. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN