Naik harga getah bergantung kewangan kerajaan

PARLIMEN: Naik harga getah kepada RM4.50 bergantung kewangan kerajaan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cadangan menaikkan harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50  kepada RM4.50 sekilogram tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan. 

Timbalan Menteri Perladangan Dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, tiada sebarang cadangan untuk meningkatkan harga getah lebih tinggi kerana ketika ini kerajaan telah bersetuju menaikkan kadarnya kepada RM2.70 sekilogram.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memperhalusi cadangan itu bersama kementerian dan agensi terlibat. 

“Berhubung cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM4.50 sekilogram, ingin saya nyatakan di sini bahawa kementerian akan melaksanakan paras harga pengaktifan IPG RM2.70 sekilogram seperti mana yang diumum dalam Belanjawan 2023.

“Pada masa sama, Kementerian Perladangan dan Komoditi akan memperhalusi cadangan tersebut bersama kementerian dan agensi terlibat tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa Kerajaan,” katanya semasa pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang mahu kementerian itu  menyatakan jika kerajaan bercadang menaikkan kadar IPG dari RM2.50 kepada RM4.50 sekilogram. 

Semasa pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan bersetuju menaikkan kadar IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan RM350 juta.

Aminah berkata, walaupun kadar IPG dinaikkan sebanyak 20 sen daripada RM2.50 kepada RM2.70, langkah itu dilihat belum dapat membantu pekebun kecil untuk keluar daripada kesusahan akibat kos sara hidup yang tinggi ketika ini. 

Namun, katanya, kerajaan memberi jaminan sentiasa berusaha mencari mekanisme bagi membantu mengurangkan kesengsaraan dihadapi pekebun kecil getah.

“Walaupun jumlah itu agak kecil tetapi sebenarnya ia menyumbang satu jumlah yang besar yang mana kerajaan akan mengeluarkan (peruntukan) sebanyak RM350 juta kepada semua penerima nanti.

“Memang betul, ia (kenaikan 20 sen) belum lagi boleh membantu 100 peratus pekebun kecil tetapi insya-Allah, kerajaan sentiasa memikirkan dan membuat perbincangan dengan kementerian lain untuk mencari mekanisme menaikkan harga ini (IPG),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya