Muthalib pastikan tiada siapa yang tertinggal

Muthalib Harun pastikan tiada siapa yang tertinggal

Perwakilan UMNO seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Dengan niat untuk ‘menyatukan’, salah seorang calon Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun menyimpan hasrat untuk tidak langsung mengetepikan mana-mana individu yang turut sama bertanding jawatan itu dalam pemilihan UMNO Bahagian, esok.

Menurut Naib Ketua UMNO bahagian selama tiga penggal itu, jika beliau dipilih, tiga calon lain akan ditawarkan untuk sama-sama membentuk satu pasukan bagi memastikan UMNO Kuala Kedah dapat membina kembali kekuatan di kawasan Parlimen yang cukup bersejarah dan nostalgik buat parti itu.

Katanya, beliau tidak melihat pemilihan kali ini sebagai satu persaingan yang membawa perpecahan ketika setiap calon memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing yang dilihat mampu saling melengkapi bagi mengukuhkan UMNO Bahagian itu.

“Kalau diikutkan UMNO Kuala Kedah ini cukup besar sejarahnya. Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan ahli UMNO Kuala Kedah malah Ahli Parlimen kedua di sini pula, Tan Sri Senu Abdul Rahman yang merupakan Setiausaha Agung UMNO.

“Maka kami memiliki tugas besar untuk mengembalikan kegemilangan UMNO Bahagian Kuala Kedah. Apatah lagi Parlimen ini sudah empat penggal gagal direbut semula oleh UMNO.

“Disebabkan itu jika terpilih sebagai Ketua Bahagian, saya mahu pastikan tiada siapa yang tertinggal bagi mengukuhkan UMNO bahagian ini. Selepas perwakilan buat keputusan, masing-masing akan ditawarkan tempat sesuai dan kita kembali menjadi ‘satu’ bagi mengukuhkan UMNO Kuala Kedah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Abdul Muthalib berdepan saingan empat penjuru merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, yang turut dicabar oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid, selain Zainal Alam Bakar dan Mohd. Zamil Zubir.

Mengulas lanjut Abdul Muthalib berkata, UMNO Kuala Kedah tidak mempunyai pilihan untuk berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat serta Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam jangka masa panjang selain daripada bersatu untuk meraih kemenangan.

“Kita mempunyai 24,000 ahli di Kuala Kedah merangkumi 159 cawangan dan kesemua mereka ini perlu disatukan di bawah satu nakhoda yang akan dipilih nanti bagi menghadapi PRN dan PRU akan datang. Jadi kita tiada ruang untuk berbalah antara satu sama lain.

“Pembangunan yang ada di Kuala Kedah ini kebanyakannya merupakan legasi peninggalan kepimpinan UMNO termasuk terutamanya ketika Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang juga bekas Ahli Parlimen di sini menjadi Menteri Besar. Kita mahu kembalikan kegemilangan itu kerana Kuala Kedah memiliki potensi besar untuk dibangunkan apatah lagi ia dikenali sebagai pintu masuk ke Langkawi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN