Misi Starlight II berjaya, beri bantuan perubatan gempa Turkiye

Misi Starlight II berjaya, beri bantuan perubatan gempa Turkiye

AFFENDI Buang menyambut para pegawai dan anggota ATM yang ditugaskan dalam Operasi Starlight II di KLIA Terminal 1, Sepang, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 110 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan dalam Operasi Starlight II selamat kembali ke tanah air selepas enam minggu melaksanakan misi bantuan perkhidmatan perubatan kepada mangsa gempa bumi melalui pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Celikhan, Turkiye.

Kesemua mereka yang menaiki penerbangan komersial Turkish Airlines itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini, kira-kira pukul 5.30 petang dengan disambut Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta Duta Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Misi yang diketuai oleh Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom sebagai peneraju operasi dan Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah sebagai pemerintah operasi itu turut melibatkan seramai 14 pakar perkhidmatan klinikal, 14 pegawai perubatan, 58 staff kesihatan serta 23 staf sokongan.

HMM yang memulakan pengoperasiannya pada 9 Februari lalu menawarkan perkhidmatan perubatan Tahap 3 kepada masyarakat setempat serta melaksanakan Outreach Medical Program melalui Forward Medical Team (FMT).

Affendi berkata, pendekatan FMT adalah mengatur gerak petugas kesihatan HMM ke rumah-rumah penduduk di sekitar Celikhan bagi memeriksa warga emas dan mereka yang lemah untuk disaring serta dibawa ke HMM jika memerlukan rawatan lanjut.

“Inisiatif tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan interaksi secara terus antara penduduk tempatan dengan petugas HMM tetapi meningkatkan imej negara di samping membuktikan komitmen tinggi Malaysia dalam membantu Republik Turkiye yang berada dalam kesulitan.

“Sepanjang tempoh beroperasi, HMM merawat seramai 2,415 pesakit termasuk 83 kes pembedahan yang berjaya dilaksanakan dan 159 pesakit yang diberikan rawatan melalui pendekatan FMT,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan Operasi Misi Starlight II di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses membawa pulang aset-aset perubatan dilaksanakan menggunakan dua buah pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malasyai yang diatur gerak ke Republik Turkiye pada 23 Mac lalu dan tiba di Pangkalan Udara Subang semalam.

Jelas beliau, kerajaan Malaysia juga memberikan sejumlah peralatan dan kelengkapan HMM yang melibatkan sebangak 24 buah khemah, katil medan dan ubat-ubatan serta barang perubatan pakai habis sebagai sumbangan kepada kerajaan Turkiye bag membantu meneruskan proses pemulihan kesihatan di negara tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada aset ATM mencukupi susulan sumbangan yang telah diberikan, Affendi memaklumkan, ketika ini aset-aset berkaitan HMM masih cukup dan lengkap.

“Kita memang ada simpanan HMM jika diperlukan dan kalau diberi tempoh masa yang singkat, kita boleh laksanakan pembinaan atau lengkapkan HMM tersebut.

“Apabila kita terima arahan daripada kerajaan dalam tempoh masa 48 jam kita boleh gerakkan (HMM),” ujarnya.

Pada 11 Februari lalu, media melaporkan ATM menghantar kumpulan terakhir pasukan perubatannya bagi mengendalikan operasi HMM di Turkiye. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.