Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup diesel, rampasan bernilai RM16,000 - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup diesel, rampasan bernilai RM16,000

EMPAT suspek terdiri daripada seorang tekong dan tiga awak-awak yang ditahan terlibat dengan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi ke negara jiran menerusi penahanan sebuah bot nelayan di perairan Kuala Perlis, semalam. -UTUSAN

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan menyeludup minyak diesel bersubsidi secara haram menerusi penahanan sebuah bot nelayan Kelas C pada kedudukan 2.3 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis, semalam.

Penahanan bot nelayan itu sekitar pukul 5.23 petang dan ia adalah hasil maklumat risikan serta intipan dilakukan oleh Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) sejak beberapa minggu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, menerusi pemeriksaan dilakukan, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga awak-awak terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warga Thailand berusia lingkungan 39 hingga 46 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak yang dipercayai cuba untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, berdasarkan siasatan awal, bot nelayan berkenaan dikenal pasti membawa minyak diesel sebanyak 8,000 liter dengan nilai dianggarkan berjumlah RM16,000.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan membabitkan sebuah bot, enjin, dan minyak diesel berjumlah RM216,000.

“Bot bersama semua kru dan hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 239 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti jenayah serta sebarang pelanggaran undang-undang bagi membanteras kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi ini,” katanya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN