Maqis rampas hasil perikanan tanpa permit sah - Utusan Malaysia

Maqis rampas hasil perikanan tanpa permit sah

HASIL perikanan dari Indonesia yang dirampas Maqis ketika pemeriksaan di Pelabuhan Lumut semalam. - UTUSAN/IHSAN MAQIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perak merampas pelbagai jenis hasil perikanan dari Indonesia seberat 230 kilogram (kg) yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit yang sah.

Pengarah Maqis Perak, Mohd. Noor Hashim berkata, rampasan bernilai RM5,000 itu dibuat ketika pemeriksaan rutin bagi barangan import di pintu masuk di Pelabuhan Lumut semalam.

Katanya, antara barang yang dirampas ialah pelbagai jenis ikan basah seperti ikan kerapu, merah, jenahak, tenggiri, kerisi, udang harimau dan udang galah.

“Perbuatan mengimport dagangan tanpa permit yang sah disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemain industri diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan kerajaan atau bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

“Ia bagi memastikan tumbuhan, haiwan, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya