PETALING JAYA: Malaysia akan meneroka potensi bidang kerjasama dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi manfaat kedua-dua buah negara.
Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Yang diPertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap wakil pemerintah di Wilayah Al Dhafra, Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan di Emirates Palace Hotel, Abu Dhabi, semalam.
Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka berkenan menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan Kerajaan UAE dan Persatuan Bulan Sabit Merah UAE dalam menyampaikan sumbangan Kerajaan Malaysia sejumlah 40 tan barangan bantuan kemanusiaan di Syria.
“Selain itu, kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan UAE serta bidang kerjasama yang berpotensi yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 25 Februari lepas, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Abu Dhabi untuk lawatan khas selama tujuh hari. – UTUSAN










