Malaysia perkukuh hubungan, teroka pelaburan baharu

Malaysia perkukuh hubungan, teroka pelaburan baharu

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan terus memperkukuh hubungan bersama negara-negara luar bagi meneroka bidang-bidang pelaburan baharu dalam usaha meningkatkan perkembangan serta pembangunan antara yang memberi manfaat kepada negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, semasa lawatan kerjanya ke London, United Kingdom (UK), beliau turut mengatakan pertemuan bersama rakan sejawatnya daripada Sri Lanka, TYT M.U.M Ali Sabry.

Menurut beliau, melalui pertemuan itu, dua negara senada dalam usaha untuk terus meningkatkan hubungan baik yang sudah terjalin sekian lama.

“Kami percaya masih banyak peluang dan ruang untuk penambahbaikan terutamanya di dalam aspek pelaburan. Menurut beliau (Ali Sabry), Malaysia adalah antara penyumbang utama di dalam pembangunan sektor telekomunikasi di Sri Lanka.

“Dengan ini, banyak lagi bidang-bidang pelaburan baru yang boleh diterokai secara bersama di Sri Lanka seperti pembangunan pelabuhan, industri hospitaliti dan industri penapisan petroleum.

“Perkara-perkara ini akan terus diperhalusi melalui mekanisme Rundingan Dua Hala di antara Malaysia dan Sri Lanka,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Zambry mengetuai delegasi Malaysia bagi menyertai sebanyak tiga program anjuran Pertubuhan Komanwel di London.

Beliau julung kali menghadiri aktiviti Resepsi Hari Komanwel sempena sambutan Hari Komanwel 2023, Mesyuarat Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel dan Mesyuarat Tahunan Menteri Luar Komanwel.

Sementara itu, Zambry turut berjumpa dengan rakan sejawatnya daripada Maldives, TYT Abdulla Shahid ketika sesi lawatan kerjanya di negara tersebut.

Jelasnya, melalui pertemuan tersebut, mereka membincangkan pelbagai perkara terutama usaha meningkatkan ketersambungan bagi mengeratkan hubungan dan merancakkan interaksi di antara rakyat Malaysia dan Maldives.

“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Maldives di dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.

“Selain itu, kami juga telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu-isu global dan rantau yang berkepentingan bersama. Kami sependapat bahawa Malaysia dan Maldives harus terus bekerjasama rapat bagi menjaga keamanan serta kestabilan rantau ini,” katanya.

Pada masa sama, Zambry turut mengambil kesempatan berjumpa Diaspora Malaysia di London bagi berkongsi idea dan dasar baharu Kerajaan Perpaduan.

“Kami berbincang dan berinteraksi mengenai pelbagai isu domestik dan hal ehwal luar negeri Malaysia. Ternyata, walaupun jauh dari kampung halaman, rasa patriotik serta cintakan negara tidak pernah pudar walau dimanapun mereka berada.

“Mereka tetap memberikan pelbagai idea dan cadangan di dalam usaha bersama-sama membangunkan negara. Cadangan-cadangan ini akan saya sampaikan kepada rakan-rakan Kabinet yang lain untuk kita sama-sama perhalus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya