Ramli Sarip pernah tulis lagu dalam tempoh 15 minit

Ramli Sarip pernah tulis lagu dalam tempoh 15 minit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATUK Ramli Sarip atau dikenali dengan julukan Papa Rock adalah satu nama yang cukup disegani di negara ini. 

Keunikan vokal serak basah serta memiliki koleksi lagu malar segar seperti Kamelia, Bukan Kerana Nama, Doa Buat Kekasih dan Teratai sentiasa menjadi inspirasi buat ramai penyanyi generasi kini. 

Lebih lima dekad menabur bakti sebagai anak seni, tentunya pengalaman yang dimiliki penyanyi kelahiran Singapura ini terlalu besar nilainya. 

Berkongsi rahsia lagu yang pernah dihasilkan dan dinyanyikannya sendiri, Ramli, 70, berkata, adakalanya lagu yang kekal malar segar terjadi disebabkan sentuhan magis dan berlaku dalam keadaan spontan.  

Jelasnya, antara lima lagu hits yang dihasilkan sebenarnya tidak menuntut perancangan rapi mahupun melalui sebarang tekanan untuk menghasilkan lagu tersebut. 

“Jika ditanya kepada kebanyakan artis yang berkarya atau pencipta lagu yang serius serta pemuzik yang pandai membuat susunan lagu, ia berlaku pada masa terdesak. 

“Saya ada lima lagu yang datang dalam keadaan terdesak dan jadi popular. Saya masih ingat Datuk M. Nasir pernah mencari saya dan bertanyakan sekiranya ada lagu untuk dibuat rakaman di studio. 

“Masa itu saya bawa perakam kaset dan tak sampai beberapa minit terhasil Lagu Untuk Teman dan jadi popular selepas selesai proses rakaman,” katanya. 

Ramli yang pernah menganggotai kumpulan rock terkenal, Sweet Charity sebagai vokalis turut berkongsikan lagu-lagu lain yang memiliki magis tersendiri sehingga mendapat sambutan hebat peminat. 

Katanya, judul lagu Ku Di Halaman Rindu nyanyian Lefthanded juga dihasilkan dalam keadaan spontan dan tanpa melibatkan perancangan rapi mengenainya. 

“Masa itu saya duduk di studio dalam pukul 12 tengah malam. Pihak syarikat rakaman sudah minta segera sebab pengedar sudah minta 50,000 cetakan kaset.

“Lagu Nyanyian Serambi dalam album Kalam Kesturi juga sama. Masa itu sembilan lagu sudah siap dan hanya tinggal sebuah lagu sahaja. Selama dua tahun saya simpan lagu itu dan saya berjaya habiskan lirik lagu itu selepas waktu Subuh. 

“Walaupun ia tidaklah jadi hits yang besar, tetapi lagu itu berjaya jadi tema yang berhasil kepada saya. 

“Ada makna yang sangat penting dalam lagu itu iaitu kita keluar mencari rezeki yang diberkati dan jangan sesekali pergi kerja tetapi tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya. 

Menurut Ramli, antara sentuhan lain yang tidak dapat dilupakan adalah menghasilkan lagu Doa Buat Kekasih dalam tempoh 15 minit sahaja. 

“Dalam perjalanan hidup sebagai anak seni, adakalanya nasib dan magis yang menentukan kejayaan sesebuah lagu,” katanya. 

KONSERT SYAIR TIMUR

Komposer dan penulis lirik ini bakal menghadiahkan peminat dengan sebuah konsert istimewa pada 13 Mei depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang boleh memuatkan 920 penonton pada satu masa. 

Bertemakan Syair Timur, konsert ini diinspirasikan dari album Ramli bertajuk Syair Timur yang diterbitkan pada 1997 yang merupakan sebuah album kerohanian dengan elemen muzik fusion tradisional yang segar. 

Konsert ini merupakan penampilan keempat Ramli di pentas DFP selepas konsert solo pada 2010 serta menjadi penyanyi undangan untuk konsert Datuk Khadijah Ibrahim (2008) dan Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (2017).

Menurut Ramli, muzik bukan hanya nyanyian tetapi ia mempunyai peranan tersendiri dalam kehidupan.

Katanya, di usia sebegini dia hanya mencari erti nikmat kesyukuran dalam setiap persembahan yang dijayakan tanpa sebarang keluhan.    

“Apa yang menyentuh hati, saya akan kongsi kerana saya percaya dalam memberikan kejujuran. Seni itu sesuatu yang suci.   

“Kalau anda masih ada ibu dan ayah yang minat dengan konsert ini, bawa mereka datang. Pasti mereka akan menyukai irama yang pelbagai, lirik mendalam dan mempunyai makna yang tinggi. 

“Sebab ini adalah satu ruang perkongsian pengalaman. Saya juga tidak tahu sampai bila boleh bertahan sebab sekarang sudah berusia 70 tahun, tetapi saya masih mempunyai rangsangan dan minat untuk bekerja pada setiap hari,” katanya.  

DFP yang terkenal sebagai dewan konsert yang mempunyai tahap akustika yang tinggi menawarkan harga tiket bermula daripada RM550, RM338, RM298, RM258 dan RM198. Maklumat lanjut boleh layari laman web rasmi www.dfp.com.my 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya