LTAT umum dividen lima peratus tahun 2022, rekod prestasi baik

LTAT umum dividen lima peratus tahun 2022, rekod prestasi baik

MOHAMAD Hasan bersama Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua, kanan) merasmikan Majlis Pengumuman Dividen LTAT di Chulan Tower, Kuala Lumpur, hari ini. Hadir sama Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang (kanan); Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman (kiri). - FOTO/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022. 

Pengkreditan dividen 2022 telah diagih kepada 122,935 pencarum pada 10 Mac lalu. 

Pengerusinya, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, kadar dividen itu menandakan peningkatan berbanding 2021 sebanyak 4.1 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM379.42 juta. 

Justeru, katanya, peratusan dividen yang disifatkan lebih baik itu mencapai misi 5:50 dan menunjukkan kadar dividen yang konsisten sejak 2018. 

“Walaupun tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar untuk kami di LTAT, saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa LTAT yang kini dalam fasa akhir pelaksanaan Pelan Transformasi 2019-2023 berupaya untuk menangani cabaran ini dan mengukuhkan kedudukan serta kekal kompetitif dengan dana-dana lain. 

“Pelan yang berpaksi Rangka Kerja Agihan Aset Strategik (SAA) bertujuan untuk memberi pulangan jangka masa panjang yang mampan kepada pencarum iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara tentera,” katanya semasa Majlis Pengumuman Dividen 2022 dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, di sini hari ini. 

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan. 

Dalam pada itu, katanya, LTAT turut merekodkan RM652.36 juta pendapatan kasar untuk tahun dalam tinjauan (2022) dengan peningkatan sebanyak 27.4 peratus berbanding tahun sebelumnya yang didorong hasil pendapatan pelaburan ekuiti awam dan persendirian. 

Jelasnya, LTAT turut merekodkan RM499.64 juta pendapatan tertahan (pasca dividen) iaitu peningkatan signifikan sebanyak 72.8 peratus berbanding RM289.15 juta pada 2021. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman berkata, pihaknya kekal teguh dalam memberi pulangan mampan dan membangunkan simpanan persaraan pencarum. 

“LTAT berjaya merekodkan prestasi kewangan tahun ke tahun yang lebih baik. Peningkatan ini sememangnya hasil daripada langkah bersepadu penambahbaikan tadbir urus korporat, penyelarasan agihan aset, pengukuhan kompetensi bakat dan penggubalan rangka kerja risiko dan kawalan dalaman,” katanya. 

Katanya, LTAT akan mengambil langkah meningkatkan lagi Aset di Bawah Pengurusan (AUM) dan memacu nisbah solvensi melebihi 100 peratus. 

“Kami kekal komited dalam memastikan dana persaraan ini dan akan terus diperkukuh. Kami juga akan menambah baik penyampaian perkhidmatan untuk memastikan LTAT terus memberi nilai khidmat terbaik kepada ATM dan pesara tentera,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, LTAT telah mengumumkan notis tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat kepada Boustead Holdings Berhad untuk menstruktur semula portfolio pelaburannya. 

“Tawaran ini akan memberi fleksibiliti kepada LTAT untuk menjalankan pelan pemulihan Boustead Holdings dan meningkatkan pulangan kepada pencarum dalam jangka masa panjang,” katanya. 

Dalam pada itu, seramai 13 pemenang cabutan bertuah yang merupakan pencarum serta pengguna aplikasi digital MyWira telah menerima pelbagai hadiah termasuk kereta Proton X50, Perodua MyVI, motosikal Honda RSX-150 dan motosikal YAMAHA Ego Gear. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN