PETALING JAYA: Legasi dan peranan para ulama dan tokoh Islam sepanjang zaman perlu diangkat bagi mendepani cabaran globalisasi pada masa kini.
Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan menerusi pelbagai cara termasuk kajian dan penerbitan bahan arkib.
Katanya, ia penting bagi memelihara segala rekod dan khazanah ilmu untuk dijadikan sumber generasi akan datang.
“Para ulama tidak hanya terlibat dalam gerak kerja dakwah, malah turut bersama dalam memberikan pemahaman mengenai siasah kenegaraan yang sahih dalam Islam.
“Justeru kita akan menggerakkan pelbagai usaha penting sesuai dengan visi dan matlamat penubuhan ini dari sudut penyelidikan ilmiah, pengembangan idea, kebajikan pendidikan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, penganjuran Program Dialog Ulama Negarawan yang diadakan semalam dapat dijadikan sebagai satu platform dan permulaan baharu untuk pengembangan idea demi kepentingan masyarakat dan negara.
Justeru menurutnya, yayasan tersebut akan memberi penekanan dengan menggerakkan pelbagai usaha penting untuk merealisasikan matlamat penubuhannya dalam aspek penyelidikan ilmiah, pengembangan idea, kebajikan dan pendidikan. – UTUSAN










