Lari malam, tumpang rumah kawan taktik PATI elak dicekup

Lari malam, tumpang rumah kawan taktik PATI elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membina perkampungan haram di atas tanah rizab kerajaan serta di bawah pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pulau Meranti, Puchong disyaki sudah mengatur beberapa strategi bagi mengelak dicekup pihak berkuasa dalam operasi serbuan ke atas perkampungan tersebut.

Difahamkan, mereka tidak lagi tidur di rumah setinggan masing-masing pada waktu ma­lam kerana bimbang tidak sempat melarikan diri jika serbuan dibuat sebaliknya bermula pukul 6 petang, semua PATI di kawasan perkampungan haram itu akan melarikan diri masuk ke kawasan hutan di sekitarnya.

Seorang penduduk di Pulau Meranti yang enggan namanya didedahkan memberitahu Utusan Malaysia, perkara ini jelas dilihat saban petang sejak akhbar ini melaporkan kewujudan perkampungan haram PATI di situ.

Katanya, sejak akhbar ini pertama kali mendedahkan pencerobohan PATI yang meng­usahakan kebun sayur secara haram di tanah rizab kerajaan dan TNB di sini pada 26 Oktober tahun lalu, disusuli laporan selanjutnya bertarikh 27 Januari lalu, ia mendorong PATI di kawasan itu menukar strategi bagi mengelak dicekup jika ada sebarang serbuan ke kawasan perkampungan mereka.

Dedahnya, jika sebelum pendedahan itu PATI di kawasan tersebut masih berani tidur di rumah masing-masing pada waktu malam, namun sejak kewujudan perkampungan haram mereka didedahkan, kumpulan itu memilih untuk lari ke dalam hutan atau me­numpang di rumah kawan dan saudara di sekitar Kampung Pulau Meranti.

“Selepas keluar berita dalam Utusan Malaysia, mereka berhati-hati. Ada PATI yang ikut jalan belakang pergi ke rumah kawan-kawan di Cyberjaya. Ada yang pukul 6 petang naik motor atau kereta keluar dari rumah masing-masinng melintasi jalan sebelah kilang bas, kemudian awal pagi dalam pukul 4 mereka balik ke rumah semula.

“Suasana macam ini sudah berlaku sekarang. Mereka tidak lari beramai-ramai secara serentak. Mereka pun pandai. Modus operandi mereka, keluar dan lari dua ke tiga orang pada satu-satu waktu,” katanya sewaktu dihubungi, semalam.

Penduduk kampung itu men­dedahkan, suasana di rumah-rumah dalam perkampungan haram PATI itu sekarang akan senyap sunyi menjelang waktu maghrib kerana mereka semua melarikan diri.

Katanya, selain membina khe­mah dalam hutan untuk dijadikan penempatan sementara pada waktu malam, PATI tersebut juga ada yang tumpang bermalam di rumah-rumah penduduk kampung Pulau Meranti yang disewakan kepada warga asing.

“Masa sebelum maghrib la­gi mereka sudah keluar dari perkampungan haram itu, rumah masing-masing kosong tia­da orang. Lampu menyala tapi orang tiada. Malam-malam, ada antara mereka tidur dalam hutan, buat khemah dalam hutan di belakang itu.

“Masih ada hutan lagi di situ (Pulau Meranti). Perkara macam ini juga berlaku di Seremban, di Nilai juga berlaku benda yang sama. Ada juga yang tidur di rumah kawan dan saudara mereka yang menyewa rumah orang kampung di Pulau Meranti,” katanya.

Pada 26 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia pertama kali melaporkan kewujudan ladang-ladang sayur yang dibina secara haram di atas tanah milik kerajaan kerajaan Selangor di Kampung Su­ngai Rasau, Batu 8, Puchong.

Tanah tersebut didakwa di­ceroboh warga Bangladesh dan Indonesia untuk projek tanaman sa­yu­ran kontan yang memberi hasil lumayan sehingga mencecah jutaan ringgit.

Pencerobohan sejak tujuh ta­hun lalu itu membabitkan kawasan yang terletak di bawah penca­wang elektrik sehingga ke se­belah Lebuhraya Maju (MEX) di Pulau Meranti.

Kemudian pada 27 Januari, wartawan dan jurugambar akhbar ini menyamar sebagai peraih sayur dan bertemu dengan beberapa PATI warga Indonesia di situ yang mengakui membina penempatan dan mengusahakan kebun sayur-sayuran.

Perbualan dengan seorang warga Indonesia bernama Lasuwi yang menguasai banyak petak-petak sayur di kawasan tersebut mendapati, dia sudah mengusahakan kebun sayuran di situ sejak tahun 2000 iaitu sudah hampir 25 tahun malah pernah menggajikan sehingga 10 pekerja pada satu-satu masa dengan upah RM1,500 setiap orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN