Laporan forensik WhatsApp kes Guan Eng: Bantahan ditolak

Laporan forensik WhatsAp kes Guan Eng: Bantahan awal pendakwa ditolak

LIM Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. - FOTO/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara dua ahli perniagaan berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa untuk Lim Guan Eng.

Hakim Azura Alwi ketika menolak bantahan awal itu menetapkan permohonan pihak pembelaan didengar pada 23 Mac ini.

Terdahulu, prosiding perbicaraan ‘kecoh’ seketika apabila kedua-dua pihak bertikam lidah dan saling sindir-menyindir sehingga memaksa Azura ‘campur tangan’ meredakan suasana yang semakin panas.

Situasi tegang itu bermula apabila Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkeras mahukan supaya permohonan mendapatkan laporan forensik itu didengar serta-merta.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah oleh peguam Gobind Singh Deo atas alasan pihak pembelaan belum bersedia kerana baru menerima nota keterangan satu prosiding lain daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Pada peringkat itu, Wan Shaharuddin bertepuk tangan sambil mengkritik secara sinis cara pihak pembelaan mengendalikan kes yang disifatkannya suka berdrama.

Tindakan Wan Shaharuddin bertepuk tangan bagaimanapun ditegur oleh Azura sambil memberi peringatan bahawa beliau sedang berada dalam mahkamah.

Gobind yang tidak berpuas hati dengan tindakan Wan Shaharuddin kemudian meninggikan suara dengan menyatakan:

“Inilah amalan dan standard timbalan pendakwa raya yang kita ada sekarang ini. Badan Peguam perlu menegur mereka supaya perkara seperti ini dihentikan.

“Saya ada dokumen yang menunjukkan pihak pendakwaan menyembunyikan bukti keterangan kes ini,” ujar Gobind.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Wan Shaharuddin menyatakan permohonan bagi mendapatkan laporan forensik sebenarnya bertujuan memalukan dan mengugut pasukan pendakwaan.

Ujar beliau, berdasarkan nota keterangan, Gobind membayangkan tindakan saman yang akan diambil yang mungkin merujuk kepada pihak pendakwaan.

Pada peringkat itu, Gobind bangun mencelah dan menyatakan Wan Shaharuddin boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana membuat kenyataan sedemikian.

Terdahulu, Wan Shaharuddin ketika mengemukakan bantahan awal berhujah, permohonan bagi mendapatkan laporan forensik itu wajar ditolak kerana ia tidak relevan dengan fakta dalam perbicaraan itu.

Hujah beliau, isu yang dibangkitkan adalah sama ada wang RM2 juta itu diterima oleh Guan Eng atau sebaliknya.

Wan Shaharuddin berhujah, permohonan itu tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini kerana saksi-saksi pendakwaan belum selesai memberi keterangan.

“Permohonan itu jika dibenarkan akan menjadikan keputusan tersebut pramatang kerana laporan forensik itu tidak merujuk kepada laporan dari Mahkamah Sesyen Shah Alam,” ujar beliau.

Bagaimanapun Gobind berhujah, pihak pendakwaan menyembunyikan bukti keterangan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik perbualan WhatsApp di antara Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dan G. Gnanaraja berhubung pemberian wang RM2 juta yang didakwa untuk Guan Eng.

Isu mengenai perbualan WhatsApp itu didedahkan pada perbicaraan lalu melalui keterangan pegawai penyiasat forensik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Penguasa Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof.

Pihak pembelaan bagaimanapun menyatakan ‘Coklat RM2 juta’ bukan untuk Guan Eng, 62, sebaliknya untuk ‘Big Boss’ yang dirujuk sebagai ‘Perdana Menteri’ ketika itu.

Guan Eng sedang dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu, Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya