Lapan tuntut ganti rugi khas lebih RM860k

Lapan tuntut ganti rugi khas lebih RM860k

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lapan pengguna pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) yang terlibat dalam kemalangan di aliran Kelana Jaya pada Mei, dua tahun lalu menuntut ganti rugi khas melebihi RM860,000 antaranya membabitkan kos rawatan, pembedahan pada masa hadapan dan peralatan perubatan.

Lapan individu terbabit, Tengku Amalie Tengku Alauddin Shah, 47; Marvena Jitol, 28; Riezariel Haeqal, 23; Rozita Che Rus, 28; Ng Siow Nee, 36; Siti Nuraliah Hashim, 26; Nurul Athirah Mohd K Jabayee, 36 dan Muhammad Firdaus Mohd Saleh, 35, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 9 Mac lalu melalui firma guaman, Tetuan Vin Partnership di Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka menamakan Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Prasarana Malaysia Berhad sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada pukul 8.45 malam, 24 Mei 2021, telah berlaku pertembungan kereta api bernombor 40 dan 81 di laluan di antara Stesen LRT Kampung Baru dan Stesen LRT KLCC mengakibatkan pengguna pengangkutan awam itu mengalami kecederaan.

Menurut laporan media, seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam kejadian tersebut.

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, kesemua plaintif merupakan pengguna LRT dan mempunyai pas bulanan yang sah serta sihat tubuh badan dan mental.

Kesemua plaintif mendakwa defendan pertama dan kedua telah gagal dan cuai dalam memastikan keselamatan kesemua penumpang-penumpang kereta api tersebut termasuk plaintif.

Tindakan Pengerusi Bukan Eksekutif Defendan Kedua, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan ‘kedua-dua kereta api itu bercium antara satu sama lain’ sambil ketawa juga didakwa sebagai gagal mengambil kira kesusahan dan kecederaan yang dialami oleh penumpang serta menghina hak plaintif.

Kedua-dua defendan juga antara lain didakwa telah gagal memastikan bahawa kereta api selamat untuk bergerak ke hadapan tanpa sebarang halangan dan gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk memperlahankan atau mengawal kereta api berkenaan bagi mengelakkan pelanggaran.

Sehubungan itu, selain menuntut ganti rugi khas tersebut, kesemua plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan dengan faedah lima peratus dari tarikh kemalangan hingga penyelesaian penuh bagi setiap kerugian.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Semakan pada sistem mahkamah mendapati kes saman ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 11 April ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Mohamad Hafizul Awang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya