PETALING JAYA: Lantikan ahli politik ke dalam syarikat milik kerajaan (GLC) tidak salah sekiranya individu terbabit berkelayakan dan bukan dibuat sebagai `habuan politik’.
Ahli politik yang dibawa ke dalam GLC juga tidak boleh mencampur aduk agenda politik dengan kepentingan syarikat, sebaliknya perlu menjalankan amanah dengan penuh integriti dan bebas daripada salah guna kuasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tidak menjadi masalah untuk melantik mana-mana pemimpin politik dalam GLC asalkan individu tersebut mempunyai merit dan kelayakan serta bebas daripada sebarang kes jenayah termasuk rasuah.
Menurut beliau, perkara itu bukanlah satu perkara luar biasa kerana pernah dilakukan di kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom yang melantik pemimpin politik untuk mengetuai GLC.
“Namun sebelum melantik, pemimpin politik itu harus mempunyai kelayakan dan pengalaman serta bebas salah guna kuasa. Ketiga-tiga aspek ini perlu ditekankan kerajaan sebelum pelantikan dibuat.
“Tetapi yang menjadi masalah jika pelantikan ini tidak mengikut tiga garisan panduan berkenaan. Sudahlah tiada merit, tetapi mempergunakan kedudukan untuk agenda peribadi,” katanya.
Isu pelantikan politik semakin hangat dibahas selepas bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Terbaharu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.
Pelantikan iti didakwa bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) dari awal menolak sebarang pelantikan politik dalam GLC, agensi kerajaan atau badan berkanun
Selain Asyraf Wajdi dan Ahmad Jazlan, dua pemimpin PKR iaitu Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik diumumkan Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) manakala bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad pula dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
Syed Hamid berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai persepsi berkenaan namun jika mereka berjaya menggalas tugas dengan baik dan amanah, orang ramai akan kembali meyakini kemampuan tersebut
“Saya pun pernah dilantik sebagai pengerusi sebuah suruhanjaya (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat). Tetapi selepas diberikan peranan, kita mesti mengasingkan antara soal tadbir urus suruhanjaya dan parti,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Dato Dr Jeniri Amir berkata, lantikan politik dalam GLC sedikit sebanyak menjejaskan pendirian PH yang selama ini menolak amalan itu dalam pentadbiran.
Sebaliknya, kata beliau, perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah sekiranya wujud keseimbangan antara golongan politik dan profesional untuk mengisi jawatan-jawatan berkaitan kerajaan.
“Kita tengok realiti semasa berhubung lantikan politik. Tidak bolehlah mahu cakap 100 peratus tidak boleh lantik, asalkan ada merit dan kelayakan.
“Melainkan jika habuan politik, ini tidak boleh dan menjejaskan usaha reformasi dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang awal menolak sebarang pelantikan politik dalam GLC,” jelasnya. – UTUSAN










