Laju, tiada lampu punca bot berlanggar sebabkan tiga lemas - Utusan Malaysia

Laju, tiada lampu punca bot berlanggar sebabkan tiga lemas

(DARI kiri) A. Elesbeth Rani, G. Divapiria dan A. Vijaya Letchumi yang lemas dalam kejadian bot berlanggar di perairan Pangkor di Lumut semalam. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Siasatan awal polis mengesyaki dua bot yang berlanggar sehingga menyebabkan 10 penumpang terhumban ke dalam laut dengan tiga daripadanya mati lemas di sini malam tadi dikemudi laju dengan salah satu daripadanya tidak berlampu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua bot yang membawa penumpang itu juga sebenarnya adalah bot nelayan, dan bukan bot khas untuk membawa penumpang.

“Disyaki kedua-dua bot bergerak laju dengan bot pertama yang membawa 17 penumpang dan seorang tekong mempunyai lampu manakala bot kedua yang dinaiki seorang tekong dan dua penumpang, tidak berlampu.

“Keadaan laut adalah biasa, tidak bergelora dan cuaca pun baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam di perairan Lumut berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut itu, tiga wanita berusia antara 26 hingga 43 tahun mati lemas selepas terhumban ke dalam laut dalam pelanggaran itu.

Menurut Nor Omar, dua mangsa yang maut mempunyai hubungan saudara berasal dari Segari, dekat sini manakala seorang lagi adalah kenalan mereka yang datang dari Johor.

Jelasnya, daripada 17 penumpang tersebut, sembilan daripada mereka adalah pelancong iaitu lima dari Johor dan empat dari Pulau Pinang manakala lapan orang lagi penduduk tempatan dari Segari, Sitiawan dan Lumut menaiki bot ke Pulau Pangkor.

Beliau berkata,  polis masih menyiasat lanjut kejadian itu dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang maut dikenali sebagai A. Vijaya Letchumi, 43, dari Johor Bahru yang menaiki bot itu bersama anak lelaki tunggalnya berusia 18 tahun.

Abang mangsa, A. Karuna Karalu, 62, memberitahu mereka dalam perjalanan untuk menghadiri acara keagamaan di Kuil Sri Pathirakaliamman Kovil di Pulau Pangkor iaitu perayaan Masimagam yang berlangsung selama dua hari dan berakhir tengah malam tadi.

“Mendiang adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan ketika kecil tinggal di rumah saya di Kampung Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung, dan apabila berkahwin mengikut suaminya yang bekerja di Singapura dan menetap di Johor Bahru,” katanya ketika ditemui di Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini.

Anak saudara mangsa, K.K. Siva Rao, 38, pula berkata ketika kejadian sepupunya turut terhumban ke dalam laut dan mengalami kecederaan di tangan dan mendapatkan rawatan pesakit luar.

Beliau yang juga seorang nelayan mengatakan sepupunya turut memberitahu semua penumpang tidak memakai jaket keselamatan dan semua mereka adalah kenalan atau mempunyai hubungan saudara.

“Saya dapat tahu, bot mereka naiki ini adalah bot nelayan, mereka sama-sama berpakat ke kuil menaiki bot tersebut.

“Kebanyakan mangsa memang tak pakai jaket keselamatan termasuklah ibu saudara saya dan anaknya,” katanya ketika ditemui di HSM.

Katanya, sepanjang tempoh dua hari lalu, bilangan bot yang membawa penumpang termasuk di kalangan bot nelayan meningkat mendadak sehingga 40 kali pelayaran sehala sehari berikutan ramai yang mahu menghadiri upacara keagamaan itu.

Beliau memberitahu mayat ibu saudaranya itu akan disemadi secara pembakaran di Sungai Wangi, Ayer Tawar, dekat sini, iaitu di kampung halaman suaminya.

Dua lagi mangsa dikenali sebagai A. Elesbeth Rani, 41, dan G. Divapiria, 26. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya