KPDN sasar 500 premis tawar Menu Rahmah di Sabah

KPDN sasar 500 premis tawar Menu Rahmah di Sabah – Salahuddin

SALAHUDDIN Ayub semasa melakukan tinjauan bekalan barang keperluan di Pasar Besar Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Selepas memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah kini, kerajaan mula menggalakkan industri perhotelan menawarkan Pakej Rahmah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, setakat ini hanya satu hotel yang menawarkan Pakej Rahmah iaitu Hotel Elopura, Sandakan yang dilancarkan semalam.

Katanya, menerusi Pakej Rahmah ini, pihak hotel menawarkan 20 peratus diskaun penginapan serta makan sahur percuma sepanjang bulan Ramadan dan ini akan menjadi daya tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara yang berkunjung ke Sandakan.

“Kita berharap hotel-hotel ternama di negara ini turut menawarkan Pakej Rahmah supaya ramai pelancong dalam dan luar negeri bercuti di negara ini. Malah, saya juga akan berbincang dengan industri perbankan untuk menawarkan pakej-pakej perbankan bersifat rahmah.

“Di pihak kementerian, kita akan membantu mempromosi premis yang menawarkan pelbagai inisiatif di bawah payung rahmah ini,” katanya semasa Jelajah Rahmah hari ini.

Salahuddin berkata, setakat ini sebanyak 1,531 premis telah berdaftar di bawah KPDN seluruh negara bagi menawarkan Menu Rahmah.

Di Sabah, sebanyak 105 premis telah berdaftar bagi menawarkan Menu Rahmah dan jika ia dapat ditingkatkan kepada 500 premis dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, itu sudah mencukupi.

Namun, beliau percaya banyak premis yang telah menawarkan inisiatif Menu Rahmah tapi belum berdaftar dengan KPDN, jadi mereka digalakkan untuk berdaftar agar pihak kementerian boleh membantu mempromosikan premis atau restoran berkenaan.

Beliau berkata, ada juga premis menawarkan jualan Raya Rahmah seperti di BTC Bistro Inanam yang menawarkan kain pasang baju kurung yang berharga RM2 semeter berbanding harga biasa iaitu RM6 atau RM7 semeter.

Terdahulu semasa meninjau bekalan barang keperluan di Pasar Besar di sini, Salahuddin berkata, barang kawalan masih dijual pada harga ditetapkan dan majoriti bekalan mencukupi.

Hanya beberapa barangan seperti ayam dan telur yang berhadapan masalah bekalan, jadi KPDN akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk memastikan bekalan mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya