Pesuruhjaya Sukan tunggu pengesahan badan olahraga dunia

Pesuruhjaya Sukan tunggu pengesahan badan olahraga dunia

Arrifin Mohd. Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Sukan (PJS), Arrifin Mohd. Ghani mengesahkan pihaknya sedang menunggu penjelasan Olahraga Dunia (WA) berhubung status penggantungan yang membabitkan Datuk Karim Ibrahim.

Arrifin berkata, pihaknya sedia maklum terhadap isu yang membabitkan Presiden Olahraga Malaysia (MA) itu namun penjelasan terperinci daripada WA diperlukan bagi memastikan sebarang implikasi terhadap kedudukan dan pentadbiran MA dapat ditentukan dengan jelas.

“Antara perkara yang PJS lakukan adalah kami hantar surat kepada WA untuk dapatkan penjelasan lanjut apa status Datuk Karim sebab beliau pernah digantung sebelum ini.

“Kita perlu tahu adakah penggantungan itu tanpa tempoh atau ada tempoh, kemudian, adakah penggantungan itu memberi kesan kepada jawatannya sebagai Presiden MA.

“Dan ketiga, impak yang paling besar, adakah pelantikannya akan memberi kesan kepada MA sebagai ahli gabungan WA.

“Kalau ada, ia tentunya memberi kesan kepada atlet kebangsaan untuk mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan dan ini boleh merencatkan pembangunan sukan olahraga itu sendiri,” katanya.

Arrifin yang bermain untuk skuad hoki kebangsaan (1989–1993) berkata, PJS tidak akan bertindak walaupun terdapat desakan yang mahukan Karim meletakkan jawatannya.

“Kita memang sedia maklum mengenai segala komen yang dilontarkan terhadap isu ini termasuk daripada bekas atlet dan yang masih aktif tetapi ini melibatkan isu urus tadbir.

“Kita kena pastikan maklumat yang diterima itu sahih sebelum ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan beberapa bekas atlet kebangsaan bakal mengadakan sidang media bagi mendesak Karim untuk melepaskan jawatannya namun beliau menegaskan pelantikannya dibuat mengikut perlembagaan MA. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×