KPDN rampas 5,000 liter minyak diesel bersubsidi

KPDN rampas 5,000 liter minyak diesel bersubsidi

ANGGOTA penguat kuasa KPDN memeriksa tong minyak diesel bersubsidi dirampas di sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 5,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM 13,250 berjaya dirampas di sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, Selangor pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, risikan mendapati, minyak diesel itu cuba diseleweng dan menjadikan premis berkenaan sebagai stor tempat penyimpanan dan pemindahan.

Beliau berkata, turut dirampas dalam Op Tiris itu termasuk pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan dan peralatan-peralatan lain.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut.

“Kes ini juga akan disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, sebanyak 2,582 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara berdasarkan statistik penguatkuasaan Op Tiris bermula 1 Mac sehingga 21 Mac lalu dengan 69 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.27 juta.

Menurutnya, KPDN ingin memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

“Jika sabit kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Katanya, KPDN juga akan melaksanakan proses pengauditan bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan isu ketirisan ke atas barangan kawalan dan bersubsidi dapat dibanteras.

Jelasnya lagi, KPDN juga memberi amaran keras kepada semua dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.