Kos haji ikut kategori pendapatan, MRSM berbayar, kewarganegaraan automatik antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini - Utusan Malaysia

Kos haji ikut kategori pendapatan, MRSM berbayar, kewarganegaraan automatik antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan golongan berpendapatan rendah (B40), kumpulan M40 dan T20 antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) dijangka bertanya soalan itu kepada Perdana Menteri menerusi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pukul 10 pagi ini.

Young Syefura Othman (PH-Bentong) akan minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak telah dilaporkan, didakwa dan diselesaikan sejak Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017 dikuatkuasakan.

Beliau juga ingin mengetahui rancangan dan usaha kerajaan untuk membanteras kes-kes berkenaan sekaligus menambah baik sistem keadilan jenayah kanak-kanak.

Bagaimanapun, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) terlebih dahulu akan meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan proses dan sumber pendanaan untuk membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar dan waktu ia akan dilaksana selain proses pemilihan pelajar untuk kemasukan ke sekolah itu.

Ini berdasarkan cadangan yang timbul baru-baru ini untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada golongan yang berkemampuan.

Dalam pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pula, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) meminta Menteri Pengangkutan menjelaskan status Kapal Kargo Malaysia MV Dai Cat 06 yang dilapor hilang pada awal Januari lalu di perairan Indonesia dan solusi bagi menanganinya.

Datuk Dr. Alias bin Razak (PN-Kuala Nerus) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan jika kerajaan mempunyai perancangan untuk membina tempat letak kereta bertingkat di seluruh hospital kerajaan bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta yang kritikal di kawasan tersebut.

Sementara itu, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan waktu pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh dibuat bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing diberi kewarganegaraan automatik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya