Koop Sahabat tembusi pembangunan hotel, pusat kesihatan

Koop Sahabat tembusi pembangunan hotel, pusat kesihatan

MOHD Najib Mohd Noor (kanan) bersama Ali Karimi Abd Rahman (kiri) menandatangani MoU bagi kerjasama Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre yang akan dikendalikan oleh Hospital Islam Az Zahrah sempena Real Estate Invest Day dan Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan yang diadakan di Setia Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai di antara Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad bersama Marriott International dan Hospital Islam Az-Zaharah berhubung projek pembangunan hartanah hotel di Pantai Chenang, Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan di Kuantan, Pahang.

Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, kedua-dua projek dengan nilai pembangunan kasar keseluruhan sebanyak RM250 juta masing-masing dijangka beroperasi pada 2024 dan 2026 dilihat mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah selaras perancangan strategik yang dirangka pihak koperasi.

Katanya, menerusi perjanjian tersebut, Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel dengan kapasiti bilik sebanyak 300 unit di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pulau Langkawi dengan menggunakan jenama Fairfield By Marriott.

Selain itu, Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory yang dikendalikan Hospital Islam Az-Zahrah bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan, atau intervensi penjagaan kesihatan menggunakan teknologi terkini perubatan serta dilengkapi beberapa kemudahan.

Ia antaranya fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, hemodialisis dan pengimejan diagnostik.

“Koop Sahabat juga yakin dengan pembangunan hartanah yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan sahaja, sebaliknya melihat pembangunan secara Built To Suit di mana mampu membantu kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital dan pusat pendidikan.

“Kami yang juga merupakan kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan cuba memainkan peranan di dalam membantu pihak kerajaan membina infrastruktur asas di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu dimeterai sempena Real Estate Invest Day dan Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Tahun 2022 Wilayah Persekutuan di Setia Alam, Selangor.

Koop Sahabat diwakili Mohd Najib manakala Marriott International diwakili Pengarah Kanan Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Andree Susilo dan wakil Hospital Islam Az Zahrah, Ali Karimi Abd Rahman dengan disaksikan Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Siti Azlin Ahmad Dauta.

Sebagai rekod, Koop Sahabat merupakan sebuah koperasi perkhidmatan yang ditubuhkan pada 30 Ogos 2012 di bawah Akta Koperasi 1993, dengan keanggotaan kini melebihi 400,000 ahli di seluruh Malaysia yang terdiri daripada usahawan wanita B40.

Perniagaan Koop Sahabat kini meliputi perniagaan dalam perkhidmatan kewangan seperti Ar Rahnu, pembangunan hartanah, pelaburan korporat, pelaburan strategik serta pelaburan ekuiti awam.

Dalam majlis sama, Koop Sahabat dinobatkan sebagai koperasi ketujuh terbaik peringkat Kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada tahun 2022 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya