Kon Yeow dakwa kenyataan Hamzah hina mahkamah, Perlembagaan negeri - Utusan Malaysia

Kon Yeow dakwa kenyataan Hamzah hina mahkamah, Perlembagaan negeri

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkenaan usul pengosongan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam sebagai penghinaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Malah, Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, kenyataan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang Parlimen itu juga disifatkan penghinaan kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, jelas beliau, tindakan pengosongan kerusi melibatkan empat ADUN Bersatu semalam dibuat berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Selain itu, tambahnya, keputusan semalam juga selari dengan Perkara 14A Perlembagaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkenaan kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara yang melarang wakil rakyat melompat parti.

“Apa yang dikemukakan Ketua Pembangkang di Parlimen itu (Hamzah) adalah penghinaan kepada mahkamah yang mengsahihkan Perlembagaan Negeri berhubung akta anti lompat parti yang tidak bercanggah dengan apa-apa undang di negara ini dan ia adalah undang-undang yang sah.

“Maka, apa yang disuarakan selain daripada pandangan oleh Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah penghinaan (kepada Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Negeri),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Kon Yeow menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) berkenaan bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu menguruskan dakwaan-dakwaan pihak luar termasuk Hamzah berkenaan tindakan pengosongan empat kerusi DUN Bersatu seperti diluluskan sidang DUN semalam.

Semalam, Hamzah mendakwa tindakan DUN Pulau Pinang meluluskan usul mengosongkan kerusi empat ADUN Bersatu adalah satu penyalahgunaan kuasa dan bermotif politik.

Kepada soalan berkenaan bagaimana soal kebajikan rakyat di kawasan DUN yang dikosongkan itu pula, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melantik ADUN angkat terdiri daripada beberapa ADUN sedia ada untuk menguruskan DUN terlibat.

“Ini bagi memastikan rakyat atau pengundi di kawasan DUN terlibat tidak berasa terpinggir ekoran kekosongan kerusi itu.

“Malah, mereka juga akan terus mendapat pembelaan dan dijaga dengan baik oleh kerajaan negeri menerusi saluran peruntukan sama yang diberikan kepada ADUN di kawasan lain,” katanya.

Semalam, empat ADUN Bersatu diarahkan meninggalkan sidang DUN kira-kira pukul 1 tengah hari selepas usul supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing menggunakan Artikel 14A Perlembagaan Pulau Pinang diluluskan oleh majoriti ADUN.

Empat ADUN berkenaan ialah Khalid Mahtab Ishaq (Bertam); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya