Ketepikan hasrat gugat kepimpinan dan kerajaan - Ahmad Zahid

Ketepikan hasrat gugat kepimpinan dan kerajaan – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Pengenalan Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Bangunan Tunku, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, beliau mengetahui terdapat beberapa perancangan untuk menggugat kepimpinan serta kerajaan sedia ada. 

Namun kata Presiden UMNO itu, ‘hasrat’ tersebut perlu diketepikan agar UMNO terus relevan dan kuat semula supaya parti kembali diterima rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Katanya, kerajaan yang dibentuk ketika ini harus dipertahankan dan atas faktor itu, kepimpinan UMNO yang dibentuk di peringkat Majlis Tertinggi (MT) serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri mesti berada dalam satu pasukan. 

“Saya fikir ketepikanlah hasrat itu. Sebabnya, UMNO harus terus relevan, kuat, ‘membumi’ dan turun ke bawah supaya rakyat menerima kita semula khususnya dalam PRN, apatah lagi PRU akan datang.

“Kita tak mahu elemen di luar daripada itu. Kebangkitan UMNO amat penting dan pasukan yang mendokong parti mesti selari dengan kepimpinan supaya tiada masalah dalaman, seperti mana pernah dialami semasa dalam keadaan sukar sebelum ini. 

“Cukuplah kita berkabilah dan cukuplah saya terlalu meraikan perbezaan pendapat yang akhirnya menyebabkan kita terlalu berkelompok,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden, MT serta Exco Sayap bagi pemilihan UMNO Peringkat Kedah dan Perlis di sini, semalam. 

Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata, semangat sepasukan penting bagi memastikan semua pihak tidak memiliki agenda selain daripada ketetapan dibuat parti yang semangat itu sepatutnya ada selepas PRU14, namun sebahagian ahlinya termakan ‘racun-racun’ fitnah dibuat pihak luar.

“Kita harus belajar dari pengalaman yang menyebabkan UMNO menjadi sebuah parti besar tetapi menang sedikit kerusi. Pengajaran ini harus dianalisis dan dalam pemilihan akan datang, kita tak mampu lagi mempunyai kabilah berbeza yang bergerak atas tujuan berbeza walaupun kita meraikan perbezaan pendapat. 

“Saya ingatkan perwakilan agar mencari calon-calon yang boleh perkukuh parti dan tidak ada agenda mewujudkan kabilah berlainan agar UMNO dapat disatukan dan diperkukuh semula,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang memberi kelulusan terhadap usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan harus menjadi noktah kepada polemik yang timbul. 

Katanya, surat itu juga jelas menoktahkan bahawa Persidangan Agung UMNO (PAU) merupakan badan tertinggi dalam parti dengan segala peraturan dan Perlembagaan UMNO telah pun dipatuhi sepenuhnya. 

Ditanya kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu beliau menunjukkan bukti bahawa RoS sememangnya memberi kelulusan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berbuat demikian.

Beliau dalam pada itu turut menempelak bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang mendakwa orang Melayu kini melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘rumah baharu’ mereka dan bukan lagi UMNO selain mempelawa Noh memilih rumah baharu itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya