Kekurangan benih ikan dijangkaerterusan - Utusan Malaysia

Kekurangan benih ikan dijangkaerterusan

MOHD. Aminudin Mohd. Zaibani (kiri) menunjukkan benih ikan yang diternak di pusat ternakannya di Gopeng. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Masalah sukar mendapat­kan benih ikan yang dialami penternak ikan dalam sangkar di negeri ini dijangka berterusan dise­babkan ketidakmampuan di peringkat pembekal menghasilkan benih dalam kuantiti yang besar.

Ini diakui seorang pengeluar dan pembekal benih ikan air tawar di Gopeng dekat sini, Mohd. Aminudin Mohd. Zaibani yang mendakwa masalah kekurangan benih ikan air tawar disebabkan beberapa perkara terutama cuaca tidak menentu yang menjejaskan kadar penetasan telur ikan.

Menurutnya, kebiasaannya musim hujan pada November dan Disember tetapi kali ini berlanjutan hingga Mac yang mempengaruhi kadar penetasan te­lur ikan.

Katanya, apabila cuaca tidak menentu, aktiviti pembenihan ikan akan hentikan dan jika dijalankan juga, hasil yang diperoleh tidak mampu menampung kos yg dikeluarkan.

“Induk ikan tidak bertelur se­perti kebiasaan, induk kekura­ngan telur mungkin disebabkan faktor cuaca.

“Benih yang jadi kurang daya tahan, mudah mati. Apabila musim tak menentu, ikan mudah diserang penyakit dan mudah mati dan ini bukan sahaja berlaku kepada benih, tetapi juga terjadi kepada ikan yang bersaiz pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, masalah ke­ku­rangan benih ikan terutama keli dan patin bukan sahaja berlaku di Perak tetapi juga penternak ikan dalam sangkar di seluruh negara.

Katanya, masalah itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu dan belum ada jalan penyelesaian untuk bekalan benih kembali pulih.

“Masalah ini sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu dan dijangka berterusan jika tidak diatasi dengan segera.

“Benih tilapia masih boleh dikawal tapi benih keli dan pa­tin menghadapi masalah. Juga disebabkan kenaikan harga makanan ikan, harga keli dan patin berisiko untuk naik.

“Saya berharap agensi kerajaan yang berkaitan melihat ini sebagai satu isu yang besar kerana jika bekalan benih tidak ada, penternak tidak dapat meneruskan ternakan mereka, jadi kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ami­nu­din menafikan dakwaan pi­hak pembekal mengutamakan tempahan dalam kuantiti yang banyak terutama penternak dari Pahang yang terjejas ternakan mereka akibat banjir di negeri itu baru-baru ini.

“Saya amalkan konsep siapa buat pesanan dahulu, dia dapat, tak kira pengusaha besar atau kecil, pesanan banyak atau sedikit,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan mengenai kesukaran penternak ikan sangkar di Sungai Perak untuk mendapatkan benih ikan sejak kebelakangan ini disebabkan pembekal mengutamakan tempahan yang tinggi daripada penternak di Pahang.

Permintaan untuk benih ikan dari Pahang begitu tinggi selepas kejadian banjir yang melanda negeri itu baru-baru ini dan penternak di sana perlukan banyak benih baharu.

Penternak dari Pahang dikatakan datang membeli benih di Perak, difahamkan mereka menempah benih ikan dalam jumlah yang tinggi sehingga 100,000 hingga 200,000 benih sedangkan pengusaha kecil di negeri ini membuat tempahan dalam skala kecil iaitu kira-kira 40,000.

Ini menyebabkan pembekal mengutamakan tempahan kuantiti yang besar.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN