KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya hanya akan mengumumkan kedudukannya dalam UMNO selepas Majlis Tertinggi (MT) membuat keputusan.
Pada masa ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menandatangani surat perakuan sumpah (SD) menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telahpun membela diri semasa dipanggil Lembaga Disiplin pada Jumaat lalu.
“Kedudukan saya dalam UMNO kena tunggu sehingga MT buat keputusan kerana Lembaga Disiplin sudah bermesyuarat dan akan mengemukakan cadangan kepada MT.
“Jadi, kita tunggu sahaja pengumuman keputusan dibuat oleh Majlis Tertinggi,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga ADUN Tanjung Keramat itu berkata, kehadiran beliau pada majlis pelancaran itu hanya sekadar memenuhi jemputan.
Mengenai pemilihan UMNO, Shahelmey berkata, beliau tidak terlibat dalam pertandingan di peringkat bahagian.
Pada 8 Januari lalu, empat ADUN UMNO mengumumkan menyerahkan SD menyokong Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.
Keputusan itu bertentangan dengan keputusan dibuat Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan ADUN UMNO menarik sokongan daripada Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Empat ADUN UMNO yang dipanggil Lembaga Disiplin ialah Shahelmey, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut); dan Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk).
Namun, tiga daripada mereka kecuali Shahelmey mengumumkan keluar UMNO untuk menyertai Gagasan Rakyat pada 21 Februari lalu.-UTUSAN










