KOTA KINABALU: Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) harus dijadikan alternatif bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melengkapkan diri dengan kemahiran sebelum memasuki alam pekerjaan.
Data yang menunjukkan 6.7 juta tenaga kerja di negara ini berkelulusan SPM mewujudkan kebimbangan kerana akan membantutkan usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran.
Justeru, pelajar lepasan SPM yang tidak berpeluang menyambung pengajian di Institut Pengajan Tinggi (IPT) harus mengikuti program TVET sama ada secara jangka pendek mahupun panjang.
Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menyasarkan penyertaan 55 peratus lepasan SPM mengikuti program TVET menjelang 2025.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, pelatih lepasan TVET dilengkapi dengan pelbagai set kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri.
Malah kemahiran yang diperoleh boleh dimanfaatkan bagi menceburi bidang keusahawanan untuk mereka yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2021, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang direkodkan adalah 88 peratus. Ia telah melepasi kadar kebolehpasaran yang disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu 86.7 peratus pada 2025.
“Kerajaan mengiktiraf TVET sebagai game changer yang memacu kemajuan ekonomi negara melalui pembangunan tenaga kerja mahir. Maka, kerajaan amat menggalakkan lepasan SPM untuk melibatkan diri dalam program TVET dimana-mana Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh negara.
Terdapat lebih 500 ILKA di negara ini termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang menawarkan pelbagai program TVET bermula dari peringkat sijil hingga ke diploma.

Program TVET ditawarkan secara percuma bagi sesetengah kursus atau hanya mengenakan kadar yuran berpatutan.
Malah, ILKA turut menyediakan kemudahan dan infrastruktur latihan yang lengkap bagi memastikan proses latihan dapat berjalan secara efektif berdasarkan keperluan industri.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, dalam usaha menarik minat lebih ramai lepasan SPM, program TVET turut menawarkan kursus jangka pendek bagi meningkatkan fleksibiliti pelaksanaanya.
Menerusi pendekatan ini, peserta boleh mendapatkan pensijilan TVET berkonsepkan persijilan mikro dengan memberi fokus kepada set kemahiran yang diminati dalam tempoh masa yang lebih singkat.
Jelas beliau, kerajaan secara berterusan akan mengadakan program jangkauan luar (outreach) dan promosi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap peluang dan potensi program TVET.
Dalam pada itum Penolong Naib Canselor Kepimpinan dan Pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Mohd. Fadzil Abdul Rahman menegaskan pemain industri tidak wajar meletakkan kepentingan berteraskan perniagaan sahaja.
“Kita sedia maklum bahawa semua pemain industri meletakkan kepentingan kepada produktiviti terhadap perniagaan mereka, dan meletakkan sepenuhnya latihan kemahiran kepada silibus yang telah dituntut graduan di universiti.
“Namun sebaliknya, perkara ini perlu ditekankan sekali lagi bahawa beberapa kekangan yang dihadapi oleh setiap universiti itu berbeza terutamanya dalam mengejar silibus dan juga membahagi masa untuk memberi latihan kemahiran,” kataya ketika dihubungi Utusan Malauysia
Justeru, beliau berpendapat sudah tiba masanya pemain industri tidak bergantung kepada universiti dan mula mengubah tarikan industri masing-masing dengan pengenalan kepada pakej program latihan kemahiran kepada bakal graduan dan graduan baharu kelak.
“Saya berpandangan ia perlu dilakukan secara bekerjasama dua pihak, maknanya universiti dan pemain industri kena faham apa yang harus dicapai dalam pada masa yang sama menggerakkan kemajuan industry di negara ini.
“Jadi saya cadangkan asas keperluan industri boleh kita selaraskan. Industri pun kena bagi input, apa yang mereka kehendakkan dan sepatut industri masukkan dalam kokurikulum untuk graduan ini semasa melakukan industri latihan mereka,” tambahnya.
Bagaimanapun Mohd. Fadzil juga mendedahkan isu antara industri dengan universiti ini telah lama dibangkitkan dan perlu dilihat melalui dua perspektif agar satu penyelesaian dapat dicapai.
“Kalau kita tengok sebelum ni pun bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Idris Jusoh juga telah perkenalkan (2U2i) yang bermaksud dua tahun di universiti dan dua tahun di Industri merupakan program pembelajaran berasaskan pekerjaan, maknanya semua usaha itu telah pun dilakukan selama ini.
“Apa yang perlu dilakukan sekarang ini adalah dua kerjasama perlu diteruskan bersama dalam memberi latihan dan keperluan masing-masing kepada bakal graduan dan graduan baharu agar kemahiran mereka sedia ada kelak,” tegasnya.
Justeru itu, kesimpulannya pemain industri tidak wajar meletakkan universiti menjadi peranan penting dalam memberi latihan kemahiran 100 peratus, sebaliknya juga sama-sama memberi dorongan dan latihan kemahiran serta keperluan yang diperlukan kepada pasaran industri terkini, kata beliau.- utusan









