PETALING JAYA: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul melakukan siasatan terhadap seorang Ahli Parlimen yang didesak memperbetulkan kenyataannya.
Johari Abdul yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kenyataan dilakukan oleh Ahli Parlimen, Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa beliau digesa menarik kenyataannya oleh pihak tertentu menjejaskan kesucian prosiding Parlimen.
Menurut beliau, kenyataan Ka Siong juga menimbulkan kebimbangan pada pelbagai peringkat dan sehubungan itu speaker Dewan Rakyat perlu bertindak segera melakukan siasatan terhadap tekanan yang dihadapi oleh Presiden MCA itu.
“Pertama, seorang Ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan tanpa rela.
“Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan patut membuat sebarang aturan yang direka untuk memberikan tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbuat atau berkata sesuatu,” katanya seperti dipetik daripada FMT.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Ka Siong mendakwa terdapat syarikat menggunakan nama Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membersihkan namanya daripada isu kartel telur.
Semasa berbahas di Dewan Rakyat, Ka Siong memaklumkan beliau telah dihubungi oleh seorang individu yang menuntutnya untuk membuat satu kenyataan berhubung kenyataannya di Parlimen tentang kemasukan telur import.
Johari berkata, dakwaan terdapat individu terbabit bahawa sudah ada perbincangan diadakan dengan JPM adalah merupakan pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif dalam Parlimen.
“Mungkin juga sama dengan pelanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan yang perlu diambil.” katanya.-utusan










