JKN kesal, mohon maaf guru ditangguh pembedahan tiga kali

JKN kesal, mohon maaf guru ditangguh pembedahan tiga kali

AZLIYATI Zainol bersama suami, Baharudin Bakar menunjukkan borang kemasukan ke wad HSB yang diterima setelah pembedahan tertangguh sebanyak tiga kali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menyatakan rasa kesal dan memohon maaf terhadap kesulitan dialami seorang guru yang tertangguh pembedahannya sebanyak tiga kali sebelum ini di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) seperti dilaporkan Utusan Malaysia, hari ini.

Pengarahnya, Dr. Othman Warijo berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap perkara tersebut termasuk melakukan siasatan yang sedang dijalankan mengenainya.

Katanya, pihak pengurusan HSB sudah menghubungi pengadu pada pukul 10 pagi ini.

“Pengadu turut membuat aduan sama melalui Sistem Pengurusan Pengaduan Awam (SiSPAA) semalam. Pihak pengurusan HSB telah menghubungi pengadu berkaitan aduan itu dan memaklumkan perkara tersebut telah diambil perhatian serta dalam siasatan pihak jabatan.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kedah kesal dan memohon maaf atas kesulitan dihadapi pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Akhbar ini melaporkan rasa kecewa seorang guru, Azliyati Zainol, 51, dengan perkhidmatan HSB apabila pembedahan bagi mengeluarkan batu karang pada buah pinggang kanannya tertangguh buat kali ketiga sejak tahun lalu disebabkan alasan yang sukar diterima.

Beliau sepatutnya dibedah pada Julai 2021 dan Oktober 2022 namun kedua-dua tarikh diberikan pihak hospital itu bertindih dengan perayaan Aidiladha dan Deepavali.

Kali ketiga, Azliyati sepatutnya dibedah hari ini namun apabila dia mendaftar untuk masuk ke wad kelmarin, wanita itu terkejut setelah dimaklumkan namanya tiada dalam senarai pembedahan menyebabkan prosedur tersebut ditunda ke September depan.

Mengulas lanjut Othman berkata, pihaknya memandang serius semua aduan dibuat orang awam dan penambahbaikan juga akan dibuat bagi memastikan perkhidmatan lebih baik pada masa depan.

Sementara itu, Azliyati ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihak HSB sudah menelefon menantunya yang turut membuat aduan berkaitan perkara itu menerusi sistem aduan disediakan, semalam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×