Jenazah Syed Razak selamat dikebumikan

Jenazah Syed Razak selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakbah disembahyang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan Kubang Rotan Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA KEDAH: Jenazah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakbah, 79, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan, Kubang Rotan, di sini kira-kira pukul 7.30 malam ini.
Pengebumian Allahyarham yang juga anak kelahiran Kubang Rotan dihadiri lebih 500 anggota keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan.
Turut dilihat hadir memberi penghormatan terakhir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Tan Kok Yew; ADUN Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris; bekas Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdul Muthalib Harun.
Terdahulu jenazah Syed Razak disolatkan di masjid tersebut setelah dimandi dan dikafankan di kediamannya di Taman Anggerik, Sungai Petani.
Dalam pada itu, menurut anak saudara Allahyarham, Sharifah Nurulasyikhah Syed Mohamad, 50,  Allahyarham dikebumikan bersebelahan kubur ibu bapanya, Syed Zain Syed Ali dan Eshah Mahmud sebagai memenuhi permintaannya jika meninggal dunia.
Allahyarham Syed Razak menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 pagi disamping isterinya, Datin Seri Syarifah Hamidah Syed Hamid, 73, di kediamannya itu.
Beliau merupakan bekas ADUN Kubang Rotan yang kemudian menjadi Menteri Besar bermula 1999 hingga 2005 sebelum meletak jawatan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akibat masalah kesihatan dan digantikan bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang ketika itu ADUN Pedu.
Allahyarham kali terakhir dilihat di khalayak awam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lepas untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di Kuala Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim. –UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya