Cinta Syed Razak kepada UMNO cukup besar - Ahmad Bashah

Cinta Syed Razak kepada UMNO cukup besar – Ahmad Bashah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemergian bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain, 79, amat dirasai terutama dalam kalangan pimpinan UMNO Kedah yang mengenali insan yang amat menyayangi parti tersebut.

Seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang juga rakan baik Allahyarham berkata, kehilangan Syed Razak cukup memberi kesan kepadanya secara peribadi.

“Saya kenal beliau ketika belum menyertai dunia politik lagi. Memang saya sayangkan dia sebagai seorang kawan dan cinta Syed Razak kepada UMNO cukup besar.

“Dalam keadaan uzur dan tidak berapa sihat pun, beliau tetap turun berkempen untuk UMNO di Kuala Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Beliau seorang yang baik dan akan terus dikenang sebagai pemimpin yang memiliki visi dan misi dalam memajukan Kedah,” katanya di sini, hari ini.

Allahyarham Syed Razak yang merupakan Menteri Besar Kedah kelapan disahkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10 pagi ini di samping isterinya, Toh Puan Syarifah Hamidah Syed Hamid di kediaman mereka di Sungai Petani.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemergian arwah bukan sahaja kehilangan yang dirasai oleh keluarganya, malah untuk seluruh rakyat Kedah.

“Tiada siapa dapat menafikan sumbangan beliau semasa menjadi Menteri Besar satu ketika dulu. Kami amat merasai kehilangannya dan beliau akan sentiasa dikenang sebagai individu berdedikasi tinggi. Salam takziah buat keluarganya dan jiwa kental beliau selaku seorang pemimpin akan sentiasa dikagumi,” katanya.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Syed Razak, Datuk Seri Boon Som Inong pula akan sentiasa mengenang kata-kata bekas majikannya yang sentiasa mahu mendampingi rakyat yang antara ungakapan Syed Razak iaitu ‘Di mana ada rakyat, di situlah pejabat kita’.

“Selain itu beliau juga pernah berpesan, antara syarat menjadi orang politik adalah sebahagian daripada gaji kita ini termasuk habuan orang memaki dan mengata,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya