Jamal diperintah depositkan ganti rugi RM300,000

Jamal diperintah depositkan ganti rugi RM300,000 dalam akaun peguam Teresa

JAMAL Md. Yunos
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos diperintah mendepositkan ganti rugi RM300,000 ke dalam akaun peguam yang mewakili Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim sementara menunggu rayuan saman fitnah terhadapnya dilupuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azimah Omar sebulat suara mengarahkan wang ganti rugi itu dimasukkan ke dalam akaun Tetuan S.N. Nair & Partners selaku pihak berkepentingan dalam tempoh 21 hari.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Jamal untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Teresa, sementara menunggu rayuannya diputuskan.

Jamal merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membayar ganti rugi berhubung dakwaan Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Hakim Yaacob membenarkan penangguhan bersyarat terhadap Jamal setelah berpuas hati permohonan itu mempunyai merit selepas meneliti penghujahan kedua-dua pihak dan kertas kausa yang difailkan.

“Wang ganti rugi didepositkan ke dalam akaun peguam responden (Teresa) disertai faedah sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan,” ujar beliau.

Sebelum itu, mahkamah memerintahkan ganti rugi itu didepositkan dalam tempoh 14 hari, namun peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal memohon tempoh dilanjutkan selama sebulan bagi memberi peluang anak guamnya mengumpul dana membayarnya.

Pada peringkat itu, Hakim Azimah mencelah bahawa Jamal dalam pernyataan menerusi afidavit mengaku sudah mempunyai wang untuk menjelaskan ganti rugi.

Bagaimanapun, mahkamah bersetuju Jamal diberi tempoh selama 21 hari untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Rejinder berhujah wujud keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan penangguhan pembayaran ganti rugi dan juga kos RM50,000 kepada Teresa.

Hujah beliau, jumlah ganti rugi itu terlalu tinggi manakala rayuan tersebut akan menjadi sia-sia jika penangguhan tidak dibenarkan.

Menurut Rejinder, selaku ahli politik, status muflis akan memberi kesan kepada kelayakannya untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Pada peringkat itu, Hakim Azimah mencelah dan mempersoalkan kemampuan Jamal sama ada beliau bertujuan melindungi kepentingan politik walhal dalam afidavitnya dia mengaku sudah mempunyai wang.

“Kamu kata sudah mempunyai dana untuk membayar ganti rugi, adakah permohonan penangguhan ini untuk melindungi kepentingan politiknya?” soal Hakim Azimah.

Sementara itu, Datuk S.N Nair pula berhujah Jamal sudah mempunyai wang yang mencukupi yang diperolehi melalui kutipan derma dan beliau seharusnya membayarnya manakala status muflis bukan keadaan istimewa bagi penangguhan dibenarkan.

Terdahulu, panel itu membenarkan tanpa kos permohonan Perbendaharaan Selangor untuk tidak dinamakan sebagai pihak dalam rayuan yang dikemukakan oleh Jamal.

Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor, Khairul Nizam Abu Bakar berhujah agar Perbendaharaan Selangor digugurkan atas alasan ia tidak pernah dinamakan sebagai pihak dalam tuntutan saman fitnah Teresa.

Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan tuntutan saman fitnah Teresa terhadap Jamal yang difailkan lima tahun lalu setelah berpuas hati defendan gagal membuktikan pembelaannya.

Mahkamah juga mengarahkan Jamal membayar kos RM50,000 serta mengeluarkan perintah injunksi yang melarang defendan atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya