Inkues kes tembak Sarjan selepas semua laporan lengkap - Utusan Malaysia

Inkues kes tembak Sarjan selepas semua laporan lengkap

SHAHRUL NAZRI Abdul Rahim (dua dari kanan), bersama Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (kanan) pada majlis sumbangan kepada anak-anak istimewa, anak yatim, serta Tabika PDRM Pulau Pinang di IPK Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang sedang menunggu beberapa laporan untuk dilengkapkan sebelum mengemukakan permohonan inkues berhubung kes anggota polis berpangkat sarjan yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di Balai Polis Bayan Lepas, 19 Februari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini beberapa laporan seperti laporan bedah siasat, laporan kimia dan laporan balistik masih belum dilengkapkan sepenuhnya.

”Kita masih menunggu laporan-laporan yang diperlukan dilengkapkan sebelum mengemukakan permohonan ini.

“Selepas semuanya telah selesai baru kita akan laksanakan permohonan inkues ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sumbangan dan bantuan daripada Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (Laksana) kepada anak-anak yatim serta Tadika PDRM Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Pulau Pinang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Laksana, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim.

Media sebelum ini melaporkan mendiang Sarjan Jana Milie, 51, ditemukan meninggal dunia di belakang Balai Polis Bayan Lepas dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala selain sepucuk pistol ditemukan bersama mangsa dalam dalam kejadian pukul 3.30 petang.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal bedah siasat, tembakan pertama dan kedua tidak mengenai organ penting mangsa yang menyebabkan mangsa mati serta-merta.

”Dari segi siasatan memang disiasat sebagai mati mengejut (SDR),
siasatan juga tidak menunjukkan kehadiran orang lain di situ, malah saya tegaskan tiada elemen jenayah dalam kejadian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 90 anak-anak istimewa dan 116 anak-anak yatim serta dua tadika di bawah kelolaan PDRM iaitu Tadika Kemas Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dan Tadika Perpaduan IPD Barat Daya menerima dana bantuan daripada Laksana hari ini.

”Jumlah keseluruhan dana Laksana ini adalah RM100,000 dan sumbangan ini amat bermakna kepada kesemua penerima hari ini.

“Saya sebagai Ketua Polis Pulau Pinang dengan rendah hati mengucapkan setinggi terima kasih kepada Laksana atas usaha dan komitmen yang telah ditunjukkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya