Hanya seorang ahli politik di Terengganu miliki tauliah ceramah - Utusan Malaysia

Hanya seorang ahli politik di Terengganu miliki tauliah ceramah

SHAIKH Harun Shaikh Ismail (dua, kanan) menyampaikan anugerah kepada amil terbaik peringkat negeri pada Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam)
mengesahkan hanya seorang ahli politik yang memiliki tauliah menyampaikan ceramah dan kuliah di masjid serta surau di negeri ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setakat ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah sahaja yang memiliki tauliah tersebut.

Menurutnya, ahli politik lain termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara di negeri ini tidak memiliki tauliah.

“Tauliah yang dimiliki Mohd. Nor yang juga ADUN Bukit Payung itu diberikan atas kapasiti Exco kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas merasmikan Multaqa Amil Zakat Negeri Terengganu 2023 di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Shaikh Harun menambah, ahli politik di negeri ini tanpa mengira parti yang berminat mendapatkan tauliah itu boleh mengemukakan permohonan secara individu dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Katanya, mereka selepas itu perlu ditemuduga oleh jawatankuasa penilaian yang dipengerusikan oleh Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron.

“Bagaimanapun sebelum ini tidak terdapat ahli politik yang memohon mendapatkan tauliah tersebut secara rasmi,” ujarnya.

Pada 10 Mac lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang menyarankan pemimpin dan aktivis politik daripada parti itu supaya memohon tauliah bagi membolehkan mereka menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau secara sah di negeri ini.

Sebelum ini, Maidam mengeluarkan kenyataan semua pemimpin dan aktivis politik di Terengganu tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya