MARAN: Masjid dan surau di Pahang perlu memastikan semua penceramah dijemput untuk program pengajian dan pengimarahan mempunyai tauliah mengajar agama daripada pihak berkuasa agama negeri.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, sebanyak 696 masjid dan surau di negeri ini perlu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh negatif termasuk ajaran bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Titah baginda, arahan itu bukan bertujuan menyusahkan tetapi sebagai cara memastikan institusi masjid tidak dijadikan tempat menyebarkan ajaran menyeleweng atau politik kepartian pecah belah.
“Ia bagi memastikan institusi terbabit ditadbir secara efisien dan profesional khususnya membabitkan program pengimarahan dan pengajian agama,” titah baginda pada majlis perasmian Masjid Annur Kampung Bukit Lada dan berbuka puasa bersama rakyat di pekarangan Masjid Kampung Bukit Lada di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebarang pelanggaran terhadap ketetapan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri ini.
Baginda bertitah, institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan bukannya menjadi punca kepada kekeliruan, perbalahan serta persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat.
Sultan Pahang turut menyarankan program Subuh Warrior atau subuh seperti solat Jumaat dibudayakan di negeri ini.
Titah baginda, solat seumpama itu begitu baik dalam mengembalikan roh kekuatan umat Islam yang menjadikan masjid sebagai platform penyatuan ummah.
“Solat subuh seperti solat Jumaat sangat baik apatah lagi apabila majoriti jemaah yang terlibat terdiri dalam kalangan muda yang akan kita wariskan perkembangan syiar Islam,” titah baginda.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut menggesa ibu bapa mendidik anak-anak supaya tidak membazir makanan pada bulan Ramadan ini.
“Bersyukurlah dengan rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada rakyat berbanding sesetengah negara lain,” titah baginda. – UTUSAN










