GUA MUSANG: Seorang guru agama sanggup berulang-alik sejauh 100 kilometer ke bandar ini bagi membeli makanan untuk menghidupkan suasana Ramadan bersama masyarakat Orang Asli di Pos Hendrop, di sini.
Aris Rami, 53, berkata, sepanjang Ramadan pelbagai aktiviti dilakukan untuk masyarakat Orang Asli di kawasan itu termasuk tadarus dan kelas mengaji supaya mereka lebih dekat dengan Islam.
“Jarak yang jauh adalah cabaran besar buat kami di sini, walaupun keadaan jalan sudah berturap, namun tidak semua Orang Asli di sini mempunyai kenderaan sendiri,” kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Aris memberitahu, kebiasaannya mereka akan berpakat untuk keluar membeli makanan asas dan keperluan lain.
Katanya, selain hidangan nasi dan lauk, mereka juga berbuka dengan ubi kayu dan kuih muih.
Sementara itu, Penghulu Pos Hendrop, Bidi Ronggeng berkata, walaupun berhadapan cabaran masyarakat Orang Asli tetap bersemangat melaksanakan ibadah puasa.
“Sebelum ini kami sering dikunjungi agensi agama seperti Maik, Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang memberi pendedahan serta membantu kami membuat persiapan diri menyambut Ramadan.
“Alhamdulillah dengan tunjuk ajar yang diberikan, kami lebih bersedia untuk menghadapi Ramadan. Namun kami masih perlukan bimbingan untuk mengamalkan cara hidup dalam agama Islam selain mendalaminya,” ujarnya.
Pos Hendrop yang mempunyai 1,000 orang penduduk dihuni oleh sebahagian besar masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang sudah memeluk agama Islam.
Memiliki seramai 200 keluarga beragama Islam, lebih 50 peratus daripadanya sudah menjalani ibadah berpuasa. –utusan










