PETALING JAYA: Ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu, graduan baharu sepatutnya tidak mempersoalkan gaji permulaan kerja yang rendah sebaliknya mempelajari untuk berdaya saing dalam dunia pekerjaan.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, gaji permulaan bagi para graduan baharu di sektor swasta adalah ditentukan kemampuannya terhadap keperluan tempat kerja.
Menurutnya, ini adalah dengan menilai kebolehan yang ada pada graduan tersebut dalam menyumbang tenaga dan idea bagi memberi kebaikan kepada pertumbuhan perniagaan dalam sesebuah syarikat.
“Apabila syarikat memutuskan untuk mengambil graduan baharu sebagai pekerja, jadi mereka berkeyakinan bahawa graduan tersebut boleh menjadi aset atau sebaliknya menjadi liabiliti syarikat.
“Graduan tidak perlu risau kerana gaji permulaan bagi mereka di sektor swasta tidak terpakai untuk jangka masa yang panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, majoriti siswazah lulusan ijazah sarjana muda yang bergaji di bawah RM2,000 iaitu di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) ditetapkan kerajaan sebanyak RM2,208 sebulan.
Syed Husaain berkata, kebanyakan majikan akan memberi tambahan gaji kepada graduan apabila telah disahkan dalam jawatan yang ditawarkan dan kebiasaannya berlaku dalam masa enam bulan setelah mereka dinilai
Menurutnya, mereka tidak perlu menunggu masa yang lama untuk mendapat gaji yang lebih baik kerana semuanya bergantung kepada prestasi dan produktiviti yang disumbangkan dalam tempoh masa percubaan.
Justeru, katanya, para graduan baharu hendaklah memastikan mereka menimba pengalaman dan kemahiran terlebih dahulu tanpa mengira berapa gaji yang diberikan sebelum beralih kepada pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.
“Graduan yang diambil bekerja diberi peluang untuk dilatih dan menimba pengalaman bekerja yang tidak akan diperoleh ketika menjalani kuliah dalam pengajian mereka.
“Pada masa ini kebanyakan majikan masih berusaha untuk memulihkan perniagaan mereka dan ini bukan masa sesuai untuk meningkatkan gaji permulaan graduan baru,” katanya. – UTUSAN










