Fahmi tidak pasti apa Sanusi maksudkan

Fahmi tidak pasti apa Sanusi maksudkan

FAHMI Fadzil (tengah) mendengar taklimat daripada wakil TM mengenai hab gentian optik ketika hadir ke Majlis Perasmian Hab Gentian Optik Pop Zon Utara di SMK Padang Terap di Kuala Nerang. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak pasti dengan apa yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung dakwaan Menteri Besar itu dihalang daripada menghadiri majlis Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, beliau tidak nampak perkara tersebut sebagai isu memandangkan kementeriannya turut menjemput semua pihak termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran pada Majlis Perasmian Hab Gentian Optik Point of Presence (PoP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap hari ini.

“Dalam semua atur cara saya melibatkan lawatan kerja rasmi kementerian di Kedah termasuk program ini kami jemput semua. Malah ada wakil daripada pejabat Ahli Parlimen Padang Terap dan ia semangat yang sedikit berbeza untuk kita tampilkan.

“Saya tak pasti apa yang beliau maksudkan namun bagi saya apa yang penting kerajaan Perpaduan ingin membuktikan bahawa kita sedia bekerjasama demi rakyat. Sekarang ini cukup-cukuplah berpolitik dan kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas program itu.

Terdahulu Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat keputusan rasmi untuk menghalang Muhammad Sanusi daripada menghadiri majlis kerajaan, Fahmi enggan mengulas dan hanya memandang kepada wartawan yang bertanya sambil menyatakan ‘anda’ telah bertanya banyak soalan.

Dalam perkembangan lain, ketiadaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi disebabkan beliau baru berkunjung ke negara itu baru-baru ini.

Fahmi menjelaskan, beliau bersama Perdana Menteri dan isteri ke negara itu disebabkan penggiliran setelah dimaklumkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebaik selesai melakukan penggulungan di Parlimen.

“Beliau dapat pengesahan kerajaan Arab Saudi sedia menerima Perdana Menteri serta delegasi kami. Saya dimaklumkan Selasa pagi dan kami bertolak malam itu juga. Bagi saya apabila diberi arahan, maka saya pergi,” katanya.

Tambah Fahmi, beliau terharu dengan layanan sangat baik diberikan kerajaan Arab Saudi terhadap Perdana Menteri serta rombongan yang menyertai lawatan rasmi tersebut.

“Saya sendiri dapat visa diplomatik dalam masa sangat singkat iaitu hanya beberapa jam sahaja. Visa diplomatik itu takkan diberi jika bukan lawatan rasmi. Di sana kami diberikan konvoi Diraja selain menggunakan kenderaan dipasang jata kerajaan Arab Saudi.

“Kalau bukan lawatan rasmi, tak akan guna kenderaan itu dan kami juga diberi penginapan di ‘Guest Palace’ yang dikhaskan bagi tetamu kerajaan Arab Saudi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya