Duti eksais vape diharap tidak membebankan pengguna

Duti eksais vape diharap tidak membebankan pengguna

Shahabudeen Jalil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain industri vape menyifatkan cadangan duti eksais kepada produk vape bernikotin ketika pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini merupakan satu langkah tepat bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab memasarkan produk tanpa kawalan.

Pengarah Nanostix Innovations, Shahabudeen Jalil berkata, selain amat mengalu-alu cadangan duti eksais itu, beliau berharap cukai yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak membebankan pengguna.

Menurut beliau lagi, bagi mendokong hasrat ini dan melancarkan proses, undang-undang berkaitan produk vape perlulah dirangka.

“Undang-undang ini perlu dirangka bagi memastikan industri jelas mengenai kualiti, keselamatan dan bahan yang diguna pakai mengikuti standard yang ditetapkan. Ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap syarikat vape yang tidak bertanggungjawab dan memasarkan produk tanpa kawalan.

“Selain itu, perincian mengenai kaedah percukaian sama ada mengikut peratusan nikotin atau jumlah nikotin dapat digariskan dalam undang-undang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dalam pada itu, Shahabudeen memberitahu, penguatkuasaan dan kawal selia terhadap produk dan pasaran juga adalah amat penting bagi mengelakkan produk pasaran gelap yang tidak dicukai berleluasa di pasaran dan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Katanya, sebarang tindakan dan regulasi yang ingin diperkenalkan haruslah mengambil kira kesan kepada mereka yang merupakan pemegang taruh dalam industri ini.

“Industri ini majoritinya dipelopori oleh usahawan bumiputera dan melibatkan hampir 3,300 syarikat serta lebih 15,000 pekerja di dalam syarikat berkaitan vape,” katanya.

Bagi memastikan kelancaran kawal selia produk vape, Shahabudeen memberitahu, kerajaan perlu melibatkan pemain industri dalam perbincangan undang-undang atau regulasi sebelum dimuktamadkan.

“Dengan cara ini, input daripada pelbagai pihak dapat diproses dan dimasukkan sebagai rangka kerja pelaksanaan oleh pihak kementerian. Ini seiring dengan sesi libat urus yang turut dijalankan negara lain bagi mencapai objektif yang sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN