Dua ekor penyu agar ditemukan mati - Utusan Malaysia

Dua ekor penyu agar ditemukan mati

SEEKOR  penyu agar yang ditemukan mati terdampar di Pulau Kapas, Marang, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua ekor penyu agar ditemukan mati dalam dua kes berasingan di daerah Marang, semalam.

Dalam kes pertama, seekor penyu agar jantan ditemukan mati terdampar di Pulau Kapas oleh seorang pemandu bot tempatan, kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd. Farith Rezza Isa berkata, penyu tersebut yang mempunyai kesan berdarah di bahagian mulut dipercayai mati tidak sampai 24 jam.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan lain dikesan pada bangkai penyu itu yang berukuran 84 sentimeter (sm) panjang dan 75 sm lebar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kejadian berasingan pula, Mohd. Farith Rezza memberitahu, seekor lagi penyu agar dewasa ditemukan mati di muara sungai Marang.

“Bangkai tersebut ditemukan terapung oleh seorang pemandu bot, namun bangkai itu tidak sempat diambil kerana beberapa kekangan.

“Kedua-dua kejadian tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (DOF) untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berharap tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan terutama dalam mencegah penggunaan pukat pari dan aktiviti pukat tunda di laut.

“Antara punca kematian penyu ialah lemas kerana terperangkap dalam pukat. Ini boleh dielak sekiranya tiada lagi nelayan menggunakan pukat yang telah dilarang oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

“Penyu hanya mampu bertahan dua jam dalam air. Apabila terperangkap dalam pukat, risikonya untuk lemas sangat tinggi,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya